Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

5 terbunuh dalam serangan udara Israel terhadap Syria

Anggaran Waktu Membaca:
5 terbunuh dalam serangan udara Israel terhadap Syria

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 14 May 2022 10:18AM Dikemas Kini : 14 May 2022 10:18AM

DAMSYIK: Lima individu, termasuk seorang orang awam, terkorban dalam serangan udara Israel yang dilancarkan ke atas bahagian tengah Syria. 

Demikian menurut laporan media tempatan Syria pada Jumaat (13 Mei). 

"Pasukan tentera Israel melancarkan beberapa peluru berpandu yang menyasarkan sebilangan kawasan di bahagian tengah Syria," menurut agensi berita rasmi SANA yang menukil sumber tentera. 

"Keganasan itu menyebabkan lima kematian." 

Ia turut menukil sumber tentera yang mendakwa lagi tujuh cedera, termasuk seorang kanak-kanak, dan kerosakan harta benda. 

Syrian Observatory for Human Rights menyatakan "empat orang askar, termasuk seorang leftenan, terbunuh". 

Menurut kenyataan itu lagi, tujuh askar lain turut cedera. 

"Pesawat Israel melepaskan sekurang-kurangnya tujuh peluru berpandu ke atas tempat menyimpan senjata dan tapak-tapak tentera Iran di daerah Masyaf" di wilayah Hama, menurut Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain yang bergantung kepada rangkaian sumber yang meluas di Syria. 

Serangan terbaru ini menyusul serangan yang dilancarkan pada 27 Apr di mana, menurut Syrian Observatory for Human Rights, membunuh 10 askar, antaranya enam askar Syria, dalam serangan paling berdarah sejak permulaan 2022. 

Menurut laporan itu lagi, sebuah tempat menyimpan senjata dan beberapa tempat yang dikaitkan dengan kehadiran tentera Iran di Syria turut dijadikan sasaran. 

Media pemerintah Syria mengesahkan empat kematian akibat serangan-serangan tersebut. 

Tentera Israel memberitahu AFP pada Jumaat (13 Mei) bahawa pihaknya tidak akan mengulas mengenai laporan-laporan media luar. 

Walaupun Israel jarang sekali mengulas tentang serangan-serangan di Syria, ia mengaku bahawa ia melancarkan ratusan serangan sejak 2011 yang menyasarkan tempat-tempat yang menjadi kepentingan pemerintah serta sekutu-sekutu yang menyokong Iran dan kumpulan militan Hezbollah. 

Tentera Israel mempertahankan tindakannya itu dengan mendakwa bahawa serangan-serangan tersebut memang wajar untuk menghalang musuhnya Iran daripada mengukuhkan kedudukannya.

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa