5 syarikat SG labur RM1.34 bilion melalui SEZ Johor-SG
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada 30 Julai 2025. (Gambar: Facebook/Onn Hafiz Ghazi)
Beliau berkata dalam masa yang sama, tambahan minat pelaburan bernilai RM78 juta (S$23.6 juta) sedang dirundingkan dalam fasa kedua.
Pelaburan itu, katanya, direkodkan melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J), yang ditubuhkan bagi menyelaras dan mempercepat proses pelaburan strategik di negeri itu.
“Sehingga kini, melalui IMFC-J, sebanyak 70 syarikat dari Singapura, China, Jerman, Britain, Belanda serta pelabur tempatan menunjukkan minat melabur di Johor.
“Lima syarikat dari Singapura menyumbang nilai pelaburan sekitar RM1.34 bilion, dan tambahan minat berjumlah RM78 juta dalam fasa kedua,” katanya menerusi kenyataan sempena lawatan rasminya ke Singapura sebagai penerima ke-82 Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF) pada Rabu (30 Jul).
Encik Onn Hafiz berkata pertemuan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong, membuka ruang penting untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta merangka pelaksanaan menyeluruh JS-SEZ.
Beliau turut berkongsi perkembangan pelaksanaan Pelan Induk JS-SEZ, yang sedang dibangunkan dengan sokongan perunding lantikan Kerajaan Malaysia.
“Kami juga berbincang tentang cadangan-cadangan strategik seperti penubuhan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) dalam kawasan JS-SEZ, kemudahan pergerakan barangan dan bakat rentas sempadan, serta cadangan membina laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) kedua di sebelah barat Johor.
“Lebih penting lagi, perbincangan turut menyentuh isu yang dekat di hati rakyat antaranya kos sara hidup, keperluan memperkukuh infrastruktur asas, serta mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata Johor bersedia melaksanakan dasar-dasar progresif untuk memacu pertumbuhan, pada masa sama tetap komited memastikan setiap inisiatif memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya percaya bahawa kerjasama strategik antara Johor, Malaysia dan Singapura ini mesti terus diperkasa demi menjayakan agenda pembangunan yang inklusif, adil dan lestari supaya tiada sesiapa pun yang tertinggal daripada arus kemajuan.
“Insya-Allah, Johor, Malaysia dan Singapura akan terus menjadi rakan serantau yang saling menguntungkan untuk masa depan yang lebih makmur,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.