5 peserta muda kalahkan teknologi AI dalam pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa
Lima individu berjaya mengalahkan model-model generatif AI buatan Google dan OpenAI dalam pertandingan matematik antarabangsa yang paling berprestij.
Logo OpenAI dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 20 Mei 2024. (Ilustrasi: Reuters/Dado Ruvic)
Ini walaupun program-program AI itu meraih markah pingat emas buat kali pertama.
Sungguhpun begitu, tidak satu pun model AI tersebut berjaya mencatat markah penuh - tidak seperti lima peserta muda itu dalam pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO).
IMO adalah pertandingan tahunan berprestij di mana hanya peserta bawah usia 20 tahun dibenarkan.
Google menyatakan pada Isnin (21 Jul) bahawa versi canggih chatbot Gemini syarikat itu berjaya menyelesaikan lima daripada enam soalan matematik di pertandingan itu yang diadakan di Queensland, Australia pada bulan ini.
"Kami dapat mengesahkan bahawa Google Deepmind meraih 35 daripada 42 mata - markah pingat emas," kata gergasi teknologi di Amerika Syarikat itu, menukil presiden IMO Gregor Dolinar.
"Huraiannya sangat mengagumkan dari banyak aspek. Para penyemak IMO mendapati ia sangat jelas, tepat dan kebanyakannya sangat mudah untuk difahami."
Sekitar 10 peratus peserta individu mendapat markah peringkat pingat emas, dan lima meraih markah penuh.
Pembuat ChatGPT Amerika Syarikat OpenAI menyatakan modelnya mendapat markah 35 dalam ujian itu.
Google meraih markah pingat perak di pertandingan IMO tahun lalu di bandar Bath, Britain, setelah berjaya menyelesaikan empat daripada enam soalan.
Ia mengambil masa pengiraan selama dua hingga tiga hari - jauh lebih lama berbanding tahun ini, apabila model Gemini syarikat itu berjaya menyelesaikan soalan dalam masa 4.5 jam yang diberikan, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.