5 perkara tentang Prabowo Subianto yang disebut-sebut sebagai bakal Presiden Indonesia
Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto mendahului calon-calon lain untuk menjadi presiden Indonesia yang seterusnya, demikian menurut hasil hitung cepat yang dijalankan selepas rakyat Indonesia keluar mengundi pada Rabu (14 Feb).
(Gambar: AFP)
Keputusan bagi kiraan awal yang dikeluarkan oleh peninjau tempatan menunjukkan bahawa Encik Prabowo, 72 tahun kini mendahului calon-calon lain dalam persaingan tiga penjuru bagi jawatan presiden itu, berdasarkan sampel tinjauan.
Menurut Lingkaran Survei Indonesia, berdasarkan 75.3 peratus sampel undi, Encik Prabowo mendahului calon-calon lain dengan 58.84 peratus undi.
Pesaingnya Anies Baswedan, 54 tahun dan Ganjar Pranowo, 55 tahun masing-masing meraih 23.93 peratus dan 17.23 peratus undi.
Hitung cepat di Indonesia mempunyai rekod prestasi yang baik dapat menjangkakan dengan tepat keputusan akhir pilihan raya.
Jika seorang calon meraih lebih 50 peratus undi, beliau akan menjadi presiden. Jika tidak, dua calon utama akan bertanding dalam pilihan raya pada Jun.
Encik Anies merupakan gabenor Jakarta dari 2017 hingga 2022, manakala Encik Ganjar adalah gabenor Jawa Tengah dari 2013 hingga 2023.
Encik Prabowo mendapat pendidikan di Amerika Syarikat, Britain dan Switzerland, menurut saluran berita Financial Times.
Menurut agensi antirasuah Indonesia, keseluruhan asetnya bernilai 2 trilion rupiah (S$172 juta) pada 2022. Ini menjadikan beliau paling mewah dalam kalangan ketiga-tiga calon presiden tersebut.
Jika Encik Prabowo menang, beliau akan menggantikan Presiden Joko Widodo, 62 tahun yang dilarang dari segi perlembagaan daripada bertanding untuk penggal ketiga.
Encik Prabowo bertanding dengan calon naib presiden Gibran Rakabuming Raka, 36 tahun iaitu anak sulung Encik Jokowi.
Proses kiraan undi secara rasmi mungkin mengambil masa sehingga 35 hari, dengan hampir 205 juta orang layak untuk mengundi dalam pilihan raya.
Berikut adalah lima perkara yang perlu diketahui tentang Encik Prabowo, yang mungkin menjadi presiden ekonomi terbesar di Asia Tenggara dan negara dengan paling ramai penduduk Muslim.
1. KELUARGA POLITIK
Encik Prabowo berasal daripada keluarga yang berkecimpung dalam bidang politik Indonesia dan institusi ternama.
Datuknya mengasaskan bank negara pertama di Indonesia dan memainkan peranan penting dalam gerakan kemerdekaan negara itu, sementara bapa Encik Prabowo merupakan seorang ahli ekonomi ternama yang berkhidmat dalam beberapa peranan di kabinet.
Bekas isterinya adalah Titiek Soeharto, juga dikenali sebagai Siti Hediati Hariyadi, iaitu anak perempuan kedua kepada mantan presiden Indonesia, Suharto.
Suharto, seorang bekas jeneral yang meninggal dunia pada 2002, dianggap sebagai seorang diktator tentera. Beliau merupakan presiden Indonesia yang paling lama berkhidmat iaitu dari 1968 hingga 1998.
Encik Prabowo berpisah dengan isterinya tidak lama selepas Suharto disingkirkan pada 1998 menyusuli krisis kewangan Asia pada 1997. Mereka mempunyai seorang anak lelaki, seorang pereka fesyen.
2. LATAR BELAKANG TENTERA
Encik Prabowo menyertai Tentera Nasional Indonesia tidak lama selepas selesai menjalani Akademi Militer pada 1974, di mana beliau berkhidmat dalam Pasukan Khas sebelum dinaikkan pangkat sebagai komander Kostrad atau Komando Simpanan Strategik Tentera pada 1998.
Sedang krisis ekonomi, isu kekurangan makanan, pengangguran besar-besaran dan rasuah mencetuskan rusuhan di seluruh Indonesia pada 1998, askar-askar di bawah perintah Encik Prabowo dipercayai menculik dan mendera sekurang-kurangnya sembilan aktivis demokrasi.
Dalam wawancara pada 2014 bersama saluran berita Aljazeera, Encik Prabowo akur bahawa para aktivis itu diculik namun beliau katakan bahawa beliau mengikut perintah dan penculikan itu "tidak menyalahi undang-undang".
Beliau juga dituduh atas beberapa pelanggaran hak asasi manusia - seperti didakwa mengarahkan pembunuhan beramai-ramai pejuang kebebasan di Timor Leste - namun beliau menafikan dakwaan tersebut.
Semasa perbahasan presiden pada 13 Disember, Encik Prabowo berkata beliau adalah "pembela teguh hak asasi manusia" selepas disoal oleh para pesaingnya berhubung dakwaan tersebut.
"Individu yang ditahan, tahanan politik yang saya dituduh menculik kini berada dalam sayap saya, menyokong saya. Jangan mempolitikkan isu-isu hak asasi manusia," kata Encik Prabowo.
Beliau dilepaskan daripada tentera pada 1998 namun tidak pernah berdepan sebarang pendakwaan jenayah dan bertindak sendiri untuk hidup dalam buangan di Jordan sehingga 2001.
Dakwaan bahawa beliau melanggar hak asasi manusia mendorong Amerika Syarikat untuk menghalang kemasukannya ke negara itu selama beberapa dekad, namun ia sudah ditarik balik pada 2020 setelah Encik Prabowo menjadi Menteri Pertahanan Indonesia.
3. PERCUBAAN SEBAGAI PRESIDEN SEBELUM INI
Pada 2008, Encik Prabowo mengasaskan bersama parti politik Gerindra, menurut The Jakarta Post, dan bertanding sebagai naib presiden dalam pilihan raya 2009. Namun beliau kalah dengan sekitar 26.8 peratus undi.
Beliau bertanding buat pertama kali untuk menjadi presiden pada 2014 menentang Encik Jokowi, namun hanya memperolehi 46.9 peratus undi atau sekitar 8 juta undi kurang daripada Encik Jokowi.
Dalam percubaan kali kedua sebagai calon presiden menentang Encik Jokowi, Encik Prabowo mendapat 44.5 peratus undi, iaitu kurang daripada 55.5 peratus undi yang diperolehi Encik Jokowi.
Tahun ini merupakan kali ketiga Encik Prabowo bertanding sebagai calon presiden.
4. USAHA SEBAGAI MENTERI PERTAHANAN
Sebagai menteri pertahanan Indonesia sejak 2019, Encik Prabowo memimpin usaha untuk memodenkan tentera negara itu.
Ini termasuk memperolehi 42 jet pejuang Rafale dan memajukan kerjasama dengan rakan-rakan luar negara seperti Perancis untuk mengukuhkan pemerolehan tentera.
Namun, ia tidak selalunya berjalan lancar - beliau berdepan kecaman bagi sesetengah pembeliannya seperti 12 jet pejuang Mirage 2000-5s di mana negaranya menghadapi kesukaran untuk menampung kos operasi.
Encik Prabowo juga mengusulkan semasa Dialog Shangri-La 2023 yang diadakan di Singapura bagi sebuah 'pelan perdamaian' untuk Rusia dan Ukraine, melibatkan gencatan senjata dan mewujudkan sebuah zon bebas tentera.
Beliau juga mencadangkan supaya kedua-dua negara berundur 15 kilometer daripada kedudukan sekarang, namun ia dikecam oleh diplomat Kesatuan Eropah Josep Borrell dan menteri pertahanan Ukraine Oleksii Reznikov.
5. PENJENAMAAN SEMULA SEBAGAI 'DATUK PENYAYANG'
Walaupun Encik Prabowo mungkin mempunyai masa lalu yang tercemar akibat dakwaan melakukan penderaan hak asasi, digugurkan daripada tentera dan hidup dalam buangan di Jordan, beliau berusaha untuk menggugurkan imej itu dan kini berada dalam kedudukan baik untuk menjadi pemimpin Indonesia yang seterusnya.
Sebahagian besarnya hasil kempen 2024, di mana beliau menggelar dirinya sebagai seorang 'datuk penyayang' dengan bantuan avatar kecerdasan buatan dan media sosial.
Beliau juga menjauhkan diri daripada imejnya sebagai seorang nasionalis-populis dan pro-Islam yang beliau tonjolkan semasa dua pertandingan sebelum ini sebagai calon presiden. Kali ini beliau memilih menonjolkan imej yang lebih dekat dengan masyarakat.
Ini termasuk menampilkan sisi beliau yang melucukan - iaitu satu perbezaan ketara berbanding sosok dirinya yang dianggap garang - dengan berseloroh semasa satu temu bual bahawa beliau mungkin bukan seorang ahli politik yang baik kerana beliau "sering kalah".
Encik Prabowo juga membuat beberapa janji semasa kempennya.
Ini termasuk pelan 460 trilion rupiah (S$39.8 juta) untuk mengagihkan makan tengah hari dan susu secara percuma kepada para pelajar dan ibu hamil, dan rancangan untuk menambah jumlah sekolah perubatan di Indonesia dari 92 kepada 300.
"Memberikan makanan berkhasiat kepada semua kanak-kanak Indonesia, dari sejak mereka dalam rahim ibu dan menerusi usia persekolahan...dapat mengatasi (masalah) kematian ibu hamil, kanak-kanak yang kekurangan zat (dan) membantutkan kemiskinan yang melampau," kata Encik Prabowo.
Beliau juga mengisytiharkan matlamat bagi pertumbuhan ekonomi lapan peratus dan akan memberikan biasiswa kepada 20,000 pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.