5 perkara tentang Gibran Rakabuming Raka yang disebut-sebut bakal jadi naib presiden Indonesia
Menyusuli pilihan raya Indonesia baru-baru ini, lebih banyak tumpuan diberikan kepada Gibran Rakabuming Raka, iaitu anak sulung kepada Presiden Indonesia Joko Widodo, yang berkemungkinan menjadi naib presiden baharu.
Encik Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka di satu perhimpunan bersama para penyokongan selepas pengundian ditutup pada 14 Februari 2024. (Gambar: Yasuyoshi Chiba/AFP)
Keputusan bukan rasmi yang diterbitkan oleh para peninjau bebas selepas pilihan raya pada Rabu lalu (14 Feb) menunjukkan menteri pertahanan Prabowo Subianto mendahului calon-calon lain untuk menjadi presiden Indonesia seterusnya, dengan pasukan Prabowo-Gibran mendapat sekitar 58 peratus undi.
Pesaing Encik Prabowo, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, kedua-duanya bekas gabenor, masing-masing memperolehi sekitar 25 peratus dan 17 peratus undi. Keputusan tidak rasmi itu lazimnya dianggap sebagai boleh dipercayai.
Pada usia 36 tahun, Encik Gibran dalam perjalanan menjadi naib presiden paling muda dalam sejarah negara itu.
Berikut adalah lima perkara yang harus anda ketahui tentang Encik Gibran.
1. KELUARGA POLITIK
Encik Gibran adalah anak sulung kepada Presiden Joko Widodo, juga dikenali sebagai Jokowi dan isterinya, Wanita Pertama Iriana. Pasangan itu mempunyai tiga orang anak.
Keluarganya memang berkecimpung dalam bidang politik Indonesia: Selain daripada bapanya, abang ipar Encik Gibran, Bobby Nasution dilantik sebagai datuk bandar bandar Medan di Sumatera pada Disember 2020 dan pakciknya, Anwar Usman merupakan ketua hakim di Mahkamah Perlembagaan Indonesia.
Pada September 2023, adik lelaki Encik Gibran, Kaesang Pangarep juga menceburi bidang politik dengan menyertai Partai Solidaritas Indonesia dan kini berperanan sebagai pengerusi partai tersebut.
Isteri Encik Gibran, Cik Selvi Ananda merupakan seorang bekas ratu cantik yang memenangi peraduan kecantikan di bandar Surakarta pada 2009. Pasangan itu bertemu apabila Encik Gibran merupakan salah seorang juri dalam peraduan itu dan mereka mendirikan rumah tangga pada 2015.
Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki dan perempuan.
2. PENDIDIKAN DI SINGAPURA
Selepas menjalani pendidikan selama sembilan tahun di Indonesia, Encik Gibran bermastautin di Singapura untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Orchid Park.
Pada 2010, Encik Gibran memperolehi diploma lanjutan dari Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) dengan ijazah yang dianugerahkan oleh Universiti Bradford dari England.
Menjelang pilihan raya presiden, latar belakang pendidikan Encik Gibran dipersoal oleh para netizen yang mempertikaikan ketulenan kelayakan akademiknya.
Seorang pengguna di wadah media sosial X mempertikaikan bagaimana beliau dapat memperolehi ijazah dari Universiti Bradford sedangkan beliau menuntut di Singapura.
Para pengkritik juga menyoal sama ada Encik Gibran tamat pengajian di UTS Insearch, iaitu sebuah program laluan bagi para pelajar antarabangsa yang ingin melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Sydney di Australia.
Sesetengah saluran media sebelum ini melaporkan bahawa Encik Gibran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Sydney.
Dalam usaha menyangkal kontroversi itu, Encik Gibran menunjukkan sijil-sijil akademik yang diperolehi dari MDIS kepada para wartawan di Dewan Bandar Surakarta pada November tahun lalu.
Beliau menambah bahawa beliau akan membeli "satu tiket ke Singapura" bagi mereka yang mendakwa bahawa kelulusan diplomanya adalah palsu supaya mereka boleh mengunjungi sekolahnya secara peribadi, lapor Jakarta Post.
Pada bulan yang sama, MDIS mengesahkan bahawa kelayakan akademik Encik Gibran adalah sah dan beliau memperolehi ijazah Sarjana Muda Sains dalam pemasaran dari Universiti Bradford, lapor The Straits Times.
3. LATAR BELAKANG KEUSAHAWANAN
Selepas tamat pengajiannya pada 2010, Encik Gibran pulang ke Indonesia dan menceburi bidang keusahawanan di mana beliau menubuhkan perniagaan katering "Chili Pari" untuk menawarkan khidmat katering untuk majlis perkahwinan.
Pada 2015, beliau membuka 'Markobar', rangkaian kedai menjual martabak - iaitu kudapan popular di negaranya - yang sudah pun dibuka di 33 lokasi di merata Indonesia.
Perniagaan Encik Gibran yang lain termasuk: Pasta Buntel, CS Coffee Shop dan perusahaan menjual baju hujan yang bernama Tugas Negara Bos.
Bersama dengan adik lelakinya Kaesang Pangarep dan cef selebriti Indonesia, Arnold Poernomo, beliau juga mengasaskan bersama Mangkok Ku, iaitu sebuah syarikat pemula yang menjual mangkuk nasi menggunakan bahan-bahan tempatan, lapor The Jakarta Post.
4. MULA CEBURI BIDANG POLITIK
Dalam peralihan mengejutkan pada 2020, Encik Gibran mengikuti jejak langkah bapanya dan menceburi arena politik, dengan menyertai Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan di mana beliau memperolehi kemenangan besar selepas bertanding sebagai datuk bandar Surakarta.
Beberapa kumpulan yang menyokong Encik Jokowi mula memberi sokongan kepada Encik Gibran pada lewat 2022 sebagai potensi calon naib presiden bagi pilihan raya presiden Indonesia 2024.
Namun pada saat mereka memberikan sokongan, kriteria untuk menjadi calon naib presiden termasuk individu itu perlu berusia 40 tahun atau lebih daripada itu, manakala Encik Gibran hanya berusia 36 tahun apabila pilihan raya presiden berlangsung.
Dalam satu langkah penuh kontroversi, pakcik kepada Encik Gibran, Anwar Usman yang merupakan ketua hakim di Mahkamah Perlembagaan Indonesia meminda peraturan had usia bagi membolehkan calon bawah 40 tahun bertanding sebagai presiden atau naib presiden, jika mereka sebelum ini memegang jawatan dalam pejabat daerah.
Dakwaan bahawa Encik Jokowi campur tangan selepas membuat penampilan yang mengundang banyak publisiti di acara perhimpunan Encik Prabowo juga diperdebatkan, di mana para pengkritik menuduhnya menggunakan pengikut dan sumber pemerintah untuk merancakkan lagi kempen Prabowo-Gibran, yang berikrar untuk meneruskan dengan dasar-dasar beliau.
Encik Jokowi, seorang presiden popular di Indonesia diharamkan daripada menjalani penggal lima tahun untuk kali ketiga sebagai presiden.
5. MEDIA SOSIAL DAN BERKEMPEN
Sejak bukan lalu, Encik Gibran aktif berkempen di media sosial, di mana beliau mempunyai empat juta pengikut Instagram dan 14 juta pengikut di X.
Kebanyakan catatannya merakamkan usahanya berkempen dengan Encik Prabowo, dengan gambar-gambar dipetik menunjukkan perhimpunan di stadium penuh dengan penyokong dan lawatan mereka ke tempat-tempat kemasyarakatan dimuat naik ke akaun Instagram.
Semasa berkempen, Encik Gibran berkata beliau akan mula memperkenalkan pinjaman bagi syarikat-syarikat pemula digital dan terus membangunkan ekonomi hijau di Indonesia jika beliau dilantik.
Beliau juga menganjurkan supaya kebajikan pekerja dipertingkatkan dengan berjanji akan memastikan pembayaran gaji secara adil dan keselamatan di tempat kerja, terutama sekali bagi para pekerja wanita serta meningkatkan akses kepada pendidikan sarjana muda bagi kanak-kanak.
Dalam respons kepada kritikan bahawa beliau menumpang nama bapanya, Encik Gibran berkata Indonesia adalah sebuah negara demokratik di mana rakyatnya bebas untuk melantik pemimpin mereka.
Dalam ucapannya pada Rabu lalu selepas Encik Prabowo mengisytiharkan kemenangan selepas pilihan raya, Encik Gibran berkata: "Tiga bulan lalu saya bukan sesiapa. Mereka katakan saya dungu dan takut untuk berdebat... Namun satu perkara yang pasti, hasil doa dan sokongan anda, Prabowo dan saya kini ada di sini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.