Skip to main content

Dunia

5 perkara penting daripada PRN Malaysia 2023

Anggaran Waktu Membaca:
5 perkara penting daripada PRN Malaysia 2023

PM Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan hormati keputusan PRN. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Aug 2023 12:02PM Dikemas Kini : 13 Aug 2023 01:02PM
ALOR SETAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Malaysia melabuhkan tirainya pada dini hari Ahad (13 Ogos).

Sekali lagi, pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) meneruskan rentak cemerlang daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Buat pertama kalinya, PN menguasai seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu selain mengukuhkan cengkaman di Kelantan dan Kedah.

Malah, PN turut menambah jumlah kerusinya di DUN Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

BERITA Mediacorp membawakan lima perkara penting yang boleh ditelaah daripada PRN kali ini.

JUMLAH PENGUNDI YANG RENDAH

Sehingga pukul 4.00 petang pada 12 Ogos, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaporkan hanya 67 peratus daripada lebih 9.7 juta pengundi telah membuat pilihan mereka.

Kadar itu jauh lebih rendah daripada jangkaan SPR iaitu sebanyak 85 peratus.

Meskipun belum diketahui jika ia menjejas keputusan PRN, para pengamat seperti Halmie Azrie Abdul Halim seorang Penganalisis Kanan Vriens & Partners berkata kadar itu ada memainkan peranan secara tidak langsung.
Related article image
Hanya 67 peratus pengundi membuat pilihan mereka. (Gambar: BERNAMA)
"Mungkin satu sebab adalah kos seperti di Kelantan, misalnya. Di Kelantan, orang-orang kampung mungkin agak berat untuk keluar mengundi lagi kerana mereka baru saja mengundi kurang sembilan bulan lalu," ujarnya.

Statistik SPR menunjukkan jumlah pengundi Kelantan yang membuat pilihan mereka adalah yang paling rendah.

PN membolot 43 kerusi DUN Kelantan manakala baki dua kerusi dimenangi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

PAS CEMERLANG TETAPI BERSATU?

Keputusan PRN berkenaan juga menunjukkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) muncul sebagai pemenang jumlah kerusi paling banyak dan kini mentadbir empat negeri kini iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sebaliknya, rakan komponen PAS dalam PN iaitu parti Bersatu masih belum menerajui seberang negeri meskipun berjaya menambah kerusi di DUN Selangor dan Negeri Sembilan.

Para pengamat menarik perhatian peluasan pengaruh Bersatu itu di Selangor dipimpin oleh kumpulan Naib Presiden Bersatu Azmin Ali.
Related article image
Naib Presiden Bersatu Azmin Ali semasa pada 12 Ogos 2023. (Gambar: Azmin Ali/Facebook)
Perkembangan tersebut, menurut mereka, mungkin boleh mencetuskan masalah dalaman pada masa hadapan.

Encik Azmin telah membuktikan beliau setanding ahli-ahli asal Bersatu seperti Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

Pengkaji Sosio Politik di Universiti Malaya Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata: "Ini membuka laluan untuk Encik Azmin cuba menjadi Presiden Bersatu pada suatu hari nanti."

UMNO SEMAKIN LEMAH

Barisan Nasional kehilangan banyak kerusi dalam PRN 2023 termasuk di kubu kuatnya Negeri Sembilan yang mana BN kehilangan dua kerusi.

Prestasi hambar UMNO, parti utama dalam BN, juga berterusan daripada PRU15.

"Kita tidak boleh menyalahkan kepimpinan parti saja. Soalan juga perlu ditanya mana pergi jentera, sayap Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO," tambah Prof Azman.
Related article image
Dr Ahmad Zahid di Perhimpunan Agung UMNO 2023. (Gambar: BERNAMA)
Satu sudut positif bagaimanapun adalah BN berjaya menjadi sebahagian kerajaan negeri terutama sekali di Pulau Pinang dan Selangor.

DUN kedua-dua negeri itu sebelum ini tidak membawakan kejayaan kepada BN tetapi kini, mereka sudah mula boleh bertapak di sana.

KEBERKESANAN DUN SEKARANG

Dalam pada itu, PN hampir menyapu bersih kesemua kerusi DUN Kedah dan Kelantan.

Malahan, buat pertama kalinya, PN menguasai kesemua 32 kerusi DUN Terengganu.

Tiga negeri itu merupakan kubu kuat PAS.

Para pengamat berkata keputusan tersebut mungkin menjejas keberkesanan DUN terbabit kerana tiada siapa yang boleh memainkan peranan untuk semak dan imbang.

"Jadi kita akan lihat kepada situasi yang mana dasar-dasar negeri akan diluluskan begitu saja. Jadi di mana nanti aspek demokrasi yang boleh ditonjolkan," kata Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Putra Malaysia Dr Nur Ayuni Mohd Isa.

PEMAHAMAN DEMOKRASI TUNJUK PERASAAN & TIDAK NORMAL

Ini sekaligus membayangkan para pengundi PRN berkenaan lebih memilih parti gabungan berbanding mutu calon-calon yang bertanding.
Related article image
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengundi bagi DUN N.19 Ru Rendang pada 12 Ogos. (Gambar: Syafiq Ambak/BERNAMA)
Lebih jelas lagi apabila beberapa calon menang selesa kerusi DUN mereka meskipun tidak menunjukkan sebarang potensi semasa berkempen.

Para pengamat merujuk kepada calon PN bagi DUN Gurun Baddrol Bakhtiar yang merupakan bekas kapten pasukan bola sepak Kedah.

Semasa tempoh berkempen, Encik Baddrol mengeluarkan beberapa kenyataan yang membawa persoalan seperti meminta orang ramai untuk mengundi dahulu sebelum beliau berkongsi manifestonya.

Prof Awang berkata: "Rakyat seolah-olah menggunakan PRN ini sebagai satu tunjuk perasaan kepada naratif lebih besar iaitu naratif peringkat persekutuan."
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita