Skip to main content

Dunia

5 penunggang motosikal cedera dalam nahas Koswe

Anggaran Waktu Membaca:
5 penunggang motosikal cedera dalam nahas Koswe
Insiden ini menjadi tular, dengan gambar dan video, tersebar di media sosial. (Gambar: Facebook/Community TRoda Johor - CRJ)
Diterbitkan : 06 Jan 2026 12:58PM Dikemas Kini : 06 Jan 2026 01:13PM
JOHOR BAHRU: Lima penunggang motosikal mengalami kecederaan dalam kemalangan di Koswe Johor-Singapura pada Isnin (5 Jan), menurut pihak berkuasa Malaysia.

Kejadian tersebut tular di media sosial melalui gambar dan video yang menunjukkan motosikal bertindih antara satu sama lain.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 9.20 pagi Isnin (5 Jan) di laluan menghala ke Singapura. Ketika itu, keadaan trafik dilaporkan sesak namun cuaca adalah baik.

Kesemua mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 29 hingga 50 tahun. Menurut laporan agensi berita Bernama, mereka hanya mengalami kecederaan ringan dan sudah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kesemua penunggang motosikal berkenaan dalam perjalanan menuju ke tempat kerja di Singapura.

"Kemalangan dipercayai berpunca apabila salah seorang penunggang berhenti dan membuat pusingan U untuk mengambil barangan peribadinya yang terjatuh di atas jalan raya," kata Encik Raub dalam satu kenyataan pada Isnin.

"Empat penunggang lain yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal tersebut."

Satu video yang dimuat naik oleh akaun Facebook Community Roda Johor menunjukkan beberapa motosikal tersadai di tengah jalan dengan lebih 10 penunggang lain berkumpul di lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. Polis meminta orang ramai yang ternampak kejadian itu untuk tampil memberikan maklumat.

Pihak polis turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang trafik, serta memastikan diri mendapat rehat secukupnya dan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kemalangan.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita