Skip to main content

Dunia

5 pengamal perubatan Islam tawar bantuan jejaki remaja Ireland yang hilang

Sekumpulan lima orang pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh hari ini (12 Ogos) menawarkan diri untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin,15 tahun, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 4 Ogos lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
5 pengamal perubatan Islam tawar bantuan jejaki remaja Ireland yang hilang

5 pengamal perubatan Islam tawar bantuan jejaki remaja Ireland yang hilang. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Aug 2019 05:13PM Dikemas Kini : 12 Aug 2019 05:16PM

NILAI: Sekumpulan lima orang pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh hari ini (12 Ogos) menawarkan diri untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin,15 tahun, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 4 Ogos lalu.

Wakil kumpulan berkenaan, Encik Mohd Khalid Mohamed, berkata ia merupakan ikhtiar kumpulan itu - yang datang dari Skudai, Johor - bagi membantu mengesan remaja perempuan warga Ireland berkenaan dengan mengikut kaedah perubatan Islam.

“Ikhtiar yang kita lakukan bermula sejak pagi tadi tertumpu di kawasan menuruni cerun bukit dan kemudian menyusuri sungai. 

“Apabila berlakunya kejadian hilang di kampung ini, ia membuatkan kami terpanggil untuk datang ke sini menawarkan diri membantu dengan menggunakan cara alternatif lain bagi mengesan remaja hilang ini. Kami berharap anak ini dapat ditemui selamat," ujar Encik Mohd Khalid.

Beliau berkata kumpulan berkenaan pernah menawarkan khidmat mencari Mohammad Ashraf Hassan atau dikenali sebagai Acap, 29 tahun, yang hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 pada 23 Mac lepas.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook turut meluangkan masa selama satu jam untuk meninjau lokasi dan mendengar taklimat operasi SAR daripada Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Nor Marzukee Besar, di Pantai, Seremban, hari ini.

Ketika ditemui wartawan, Encik Loke berkata beliau berbangga dengan semangat yang ditunjukkan pasukan SAR termasuk mengorbankan sambutan Hari Raya Aidiladha bagi memastikan remaja berkenaan dapat ditemui secepat mungkin.

“Kita memberi keyakinan pada pasukan keselamatan untuk meneruskan pencarian mangsa dan kita memainkan peranan untuk memberikan sumbangan makanan dan sebagainya untuk memastikan semangat dan moral pasukan keselamatan tetap tinggi walaupun telah masuk hari kesembilan.

"Yang pentingnya, kita hendak memastikan operasi SAR ini berjaya. Jadi, kita mengharapkan keputusan yang terbaik daripada operasi ini dan semoga mangsa dapat ditemui segera," kata Encik Loke.

Operasi SAR berkenaan, yang memasuki hari kesembilan pada Isnin, melibatkan 348 anggota - yakni pasukan terbesar SAR setakat ini - serta 11 orang pengamal media.

Menurut pengamal media, kawasan pencarian yang dilalui mereka agak berbahaya memandangkan ia berdekatan dengan curam. Ini selain perlu menempuh perjalanan berbukit, batu yang licin dan tajam serta berdepan dengan gelap ekoran hutan di Gunung Berembun sangat tebal.  

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8.00 pagi hari berikutnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita