Skip to main content

Dunia

5 pegawai TUDM antara 11 diberkas dalam sindiket seludup dadah disyaki guna pengangkutan udara tentera Malaysia

Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu yang diberkas kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara tentera untuk menyeludup dadah ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
5 pegawai TUDM antara 11 diberkas dalam sindiket seludup dadah disyaki guna pengangkutan udara tentera Malaysia

Antara dadah disyaki syabu yang dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada Selasa (17 Nov 2026). (Gambar: JSJN Bukit Aman)

Diterbitkan : 20 Nov 2026 07:16AM
Five RMAF officers among 11 arrested in drug-smuggling syndicate suspected of using Malaysia’s military air transport
  • Police and the Royal Malaysian Air Force (RMAF) arrested 11 people, including five RMAF officers, in raids in the Klang Valley and Labuan on 17 November. The syndicate is believed to have exploited military air transport to smuggle drugs.
  • The network is believed to have been active since July, transporting drugs from Peninsular Malaysia to Sabah before distributing them to international markets, particularly the Philippines and Indonesia.
  • Authorities seized 96.64kg of methamphetamine, chemicals and two vehicles. Two civilian suspects are alleged to have acted as coordinators, while police are pursuing the syndicate’s leader and tracing its network and finances.
  • Anwar Ibrahim stressed that there would be no compromise on drug smuggling and corruption involving security personnel. The case is being investigated under Section 39B, which carries a heavy penalty upon conviction.
Dijana oleh AI

KUALA LUMPUR: Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu yang diberkas kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara tentera untuk menyeludup dadah ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek diberkas dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada Selasa (17 Nov), hasil kerjasama polis dengan TUDM.

Operasi tersebut turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki metamfetamina atau syabu bernilai RM4.83 juta (S$1.52 juta), selain 6.98 kilogram cecair bahan kimia.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara TUDM untuk membawa dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah.

Dadah tersebut kemudian dipercayai diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.

POLIS BURU KETUA SINDIKET

Encik Hussein berkata dua daripada enam suspek awam yang diberkas dipercayai bertindak sebagai penyelaras kegiatan pengedaran dadah sindiket tersebut.

Polis kini sedang mengesan seorang lagi warga Malaysia yang dipercayai ketua sindiket bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian serta pihak lain yang terlibat.

Menurut beliau, kegiatan tersebut menunjukkan bagaimana sindiket dipercayai mengeksploitasi kemudahan dan kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara.

Kesemua lima pegawai TUDM direman selama tujuh hari bermula Rabu (18 Nov) hingga Selasa (24 Nov), manakala enam suspek awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan.

Ujian saringan air kencing mendapati dua suspek awam positif metamfetamina, sementara seorang lagi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Datuk Hussein berkata dadah yang dirampas dianggarkan berpotensi menjejas sehingga 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan.

JSJN turut menyita dua kenderaan, iaitu Honda CR-V dan Toyota Vios, bernilai keseluruhan RM126,062 (S$39,577) di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

ANWAR TEGAS TIADA KOMPROMI TERHADAP ANGGOTA KESELAMATAN

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan kegiatan penyeludupan dadah dan rasuah yang melibatkan anggota keselamatan, termasuk pegawai TUDM.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026 di Shenzhen, China, Encik Anwar berkata beliau telah berbincang mengenai kes tersebut dengan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin dan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Kes berkenaan turut melibatkan pegawai berpangkat leftenan dan kapten serta juruterbang.

Encik Hussein pula berkata pihak berkuasa akan terus memberi tumpuan kepada usaha mengesan dalang utama, memutuskan rangkaian pengedaran dadah serta melumpuhkan sumber kewangan sindiket.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TUDM, khususnya Cawangan Provos Marsyal, atas kerjasama dalam operasi tersebut.

Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita