Skip to main content

Dunia

5 maut, ratusan terjejas akibat tanah runtuh, banjir di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
5 maut, ratusan terjejas akibat tanah runtuh, banjir di Indonesia

Pasukan penyelamat termasuk Badan Nasional Pengurusaan Bencana Indonesia, tentera, polis dan sukarelawan berganding bahu melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Perkampungan Kasimpar, Jawa. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Jan 2025 06:49PM Dikemas Kini : 28 Jan 2025 06:50PM
JAKARTA: Lima orang maut dan beberapa lagi cedera akibat tanah runtuh dan banjir yang disebabkan hujan lebat di seluruh Indonesia, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) ketika negara itu memasuki minggu terakhir Januari.

Menurut jurucakap BNPB Abdul Muhari, pasukan tindak balas kecemasan telah dikerahkan ke kawasan terjejas untuk membantu masyarakat setempat serta meneruskan usaha mencari dan menyelamat.

Pada 26 Januari, kejadian tanah runtuh di Mamuju, Sulawesi Barat mengakibatkan empat orang maut dan sekurang-kurangnya empat yang lain cedera selepas hujan lebat menyebabkan tanah runtuh.

Encik Abdul Muhari memaklumkan bahawa operasi pencarian terpaksa dihentikan sementara kerana cuaca buruk dan keadaan rupa bumi berbahaya, yang meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh susulan.

"Apabila keadaan bertambah baik, usaha diteruskan termasuk usaha untuk membersihkan jalan yang terhalang," menurut jurucakap itu dalam satu kenyataan pada Selasa (28 Jan).

Tanah runtuh berasingan di Tasikmalaya, Jawa Barat, pada hari yang sama, mengorbankan seorang penduduk, merosakkan sebuah rumah dan menyebabkan tiga rumah lain berisiko runtuh.

Banjir teruk di daerah Tapin, Kalimantan Selatan pada 25 Januari lalu turut menjejas 179 rumah dengan paras air antara lima hingga 20 sentimeter, namun air kini dilaporkan semakin surut.

Pada 26 Januari, hujan lebat menyebabkan banjir di Bima, Nusa Tenggara Barat, yang menjejas 395 keluarga manakala di Pasuruan, Jawa Timur hujan lebat mengakibatkan 393 rumah dinaiki air antara 10 hingga 40 sentimeter.

Encik Abdul Muhari berkata banjir di Tulang Bawang, Lampung yang berpunca daripada limpahan sungai, menjejas 379 keluarga, menenggelamkan 470 hektar sawah padi dan menjejas tiga sekolah.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita