Skip to main content

Dunia

5 maut dalam serangan Israel ke atas Gaza

Serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di Carikan Gaza pada Ahad (12 Jul), termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, menurut pegawai kesihatan Palestin.

Anggaran Waktu Membaca:
5 maut dalam serangan Israel ke atas Gaza

Dua kanak-kanak lelaki berjalan berhampiran kem pelarian dekat Khan Younis di selatan Carikan Gaza pada 11 Julai 2026. (Gambar: Getty)

Diterbitkan : 12 Jul 2026 10:43PM
  • Lima penduduk Gaza, termasuk seorang kanak-kanak, maut akibat serangan tembakan dan udara Israel di kem pelarian Al-Bureij dan loji logam di Sabra pada 12 Julai.
  • Tentera Israel menyasarkan infrastruktur yang didakwa milik pengganas, namun tidak mengulas lanjut mengenai kematian kanak-kanak tersebut.
  • Walaupun perjanjian gencatan senjata dicapai pada Oktober 2025, serangan Israel masih berterusan dan telah mengorbankan lebih 1,000 penduduk Palestin.
  • Pemimpin Hamas kini berada di Kaherah untuk rundingan pelaksanaan fasa kedua pelan damai, tetapi tiada kemajuan baharu dicapai setakat ini.
Dijana oleh AI
KAHERAH: Serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di Carikan Gaza pada Ahad (12 Jul), termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, menurut pegawai kesihatan Palestin.

Para anggota medik menyatakan serangan tembakan Israel yang menyasarkan sebuah kawasan perkhemahan di bahagian timur kem pelarian Al-Bureij di tengah Gaza mengorbankan Tala Abu Matar yang berusia sembilan tahun.

Tentera Israel tidak segera mengulas mengenai kematian kanak-kanak itu.

Satu serangan udara yang berlaku di sebuah loji tuangan logam di kejiranan Sabra di Carikan Gaza mengorbankan empat individu.

Para saksi berkata tapak itu terkena tiga peluru berpandu Israel.

Tentera Israel memberitahu Reuters bahawa ia menyerang sebuah infrastruktur "pengganas" tanpa memberikan butiran lanjut.

Perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui pada Oktober 2025 antara Israel dengan Hamas menghentikan pertempuran besar-besaran di wilayah itu, namun ia gagal menghentikan serangan Israel yang mengorbankan lebih 1,000 penduduk Palestin sejak ia berkuat kuasa.

Empat askar Israel terbunuh oleh anggota militan di Gaza sepanjang tempoh yang sama.

Keganasan yang memuncak itu berlaku sedang pemimpin Hamas mengunjungi Kaherah bagi mengadakan rundingan lanjut berhubung pelaksanaan fasa kedua pelan damai Gaza Presiden Donald Trump.

Perbincangan itu termasuk pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel, menurut sumber rapat dengan rundingan itu, sambil menambah tiada kemajuan baharu dicapai.

Hampir kesemua penduduk Gaza seramai 2 juta, di mana kebanyakannya terpaksa berpindah berulang kali,
kini tinggal di sejalur tanah yang sangat kecil di sepanjang pesisir pantai - terutamanya di dalam khemah sementara atau bangunan yang rosak di bawah kawalan Hamas.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita