5 maut angkara Taufan Kalmaegi di tengah Vietnam
Seorang wanita melihat struktur yang rosak dengan bumbung separa runtuh di Quy Nhon, wilayah Gia Lai, Vietnam, pada 7 November 2025, selepas Taufan Kalmaegi melanda kawasan itu. (Gambar: AFP/Nhac Nguyen)
Awal dari itu, taufan tersebut meragut sekurang-kurangnya 188 nyawa di Filipina.
Beberapa kawasan di bahagian tengah Vietnam melaporkan sebilangan bangunan musnah serta tiang elektrik dan pokok-pokok tumbang sedang Taufan Kalmaegi melemah menjadi ribut tropika dan menuju ke Kemboja.
Agensi pengurusan bencana menyatakan tujuh orang dilaporkan cedera, dan sekitar 2,800 rumah terjejas.
Sekitar 1.3 juta penduduk juga terputus bekalan elektrik.
Di Filipina, Presiden Ferdinand Marcos Jr mengisytiharkan darurat pada Khamis (6 Nov) selepas satu lagi taufan yang berpotensi mengganas dijangka membadai pantai barat negara itu pada Ahad malam atau pagi Isnin.
Kalmaegi menyebabkan sekurang-kurangnya 188 orang maut dan lagi 135 hilang, menjadikannya bencana alam paling dahsyat melanda negara tersebut tahun ini, menurut Pejabat Pertahanan Awam.
PEMINDAHAN DI VIETNAM
Kalmaegi melanda bahagian tengah Vietnam pada lewat Khamis, menyebabkan pokok-pokok tercabut, memusnahkan rumah, dan menyebabkan gangguan pada bekalan elektrik sebelum melemah ketika menghala ke bahagian pedalaman.
Ombak setinggi 3 meter melanda kawasan pantai seperti bandar Danang, sementara angin kencang mencabut pokok-pokok di wilayah Dak Lak.
Banyak rumah di Quy Nhon, juga sebuah bandar pesisir, terputus bekalan elektrik selama beberapa jam.
Tiga nelayan dilaporkan hilang pada Khamis selepas bot mereka dihanyutkan ombak kuat di pulau Ly Son, wilayah Quang Ngai.
Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan tetapi kemudian ditangguhkan akibat cuaca yang semakin memburuk, menurut media pemerintah.
Agensi Berita Vietnam yang dikendalikan pemerintah melaporkan landasan kereta api di Quang Ngai turut rosak.
Gambar dan video di media sosial menunjukkan bumbung rumah tercabut, rumah dinaiki air serta jalan yang dipenuhi pokok tumbang dan serpihan.
Pihak berkuasa menyatakan lebih 537,000 orang dipindahkan, kebanyakannya menggunakan bot.
Ia memberi amaran tentang hujan lebat berterusan sehingga 200 milimeter (mm) di wilayah tengah dari Thanh Hoa hingga Quang Tri, serta kenaikan paras air sungai dari Hue hingga Dak Lak yang boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.
Wilayah tengah Vietnam terjejas akibat banjir daripada hujan lebat sebelum ini.
Pemerintah menyatakan lebih 268,000 anggota tentera dikerahkan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta memberi amaran bahawa banjir boleh menjejas sektor pertanian.
Kalmaegi dijangka menuju merentasi Laos dan melanda timur laut Thailand pada waktu petang.
Jabatan Meteorologi Thailand menasihatkan para penduduk di kawasan tersebut supaya berwaspada terhadap hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat atau limpahan air sungai.
Vietnam, yang dilanda lebih 10 taufan dan ribut setiap tahun, dibadai ribut berturut-turut tahun ini, menyebabkan tempoh pemulihan antara bencana menjadi singkat.
Taufan Ragasa membawa hujan lebat pada akhir September, diikuti Taufan Bualoi yang melanda pantai tengah dan Taufan Matmo yang menyebabkan banjir di bahagian utara.
Ketiga-tiga ribut itu menyebabkan lebih 85 orang maut atau hilang dalam tempoh dua minggu dan menimpakan kerugian dianggarkan AS$1.36 bilion (S$1.8 bilion).
Vietnam adalah antara negara paling terdedah kepada banjir di dunia, dengan hampir separuh daripada penduduknya tinggal di kawasan berisiko tinggi.
Para ahli saintis memberi amaran bahawa pemanasan bumi sedang memperhebatkan taufan dan hujan di seluruh Asia Tenggara, menjadikan banjir, seperti yang melanda tahun ini, semakin dahsyat dan kerap berlaku.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.