Skip to main content

Dunia

5 maut akibat banjir, tanah runtuh di Sri Lanka; sekolah di beberapa kawasan ditutup

Sri Lanka menutup sekolah di beberapa kawasan pergunungan yang terkenal dengan tanaman teh pada Selasa (4 Ogos), selepas hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang meragut lima nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
5 maut akibat banjir, tanah runtuh di Sri Lanka; sekolah di beberapa kawasan ditutup

Orang ramai berjalan merentasi jalan yang diliputi lumpur menyusuli hujan lebat di Nawalapitiya, Sri Lanka, pada 4 Ogos 2026. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 04 Aug 2026 06:45PM
  • Pihak berkuasa Sri Lanka menutup sekolah di kawasan pergunungan selepas hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh, mengorbankan lima orang dan mencederakan tiga lagi.
  • Lebih 2,000 penduduk dipindahkan, 129 rumah rosak, dan dua orang masih hilang akibat bencana tersebut.
  • Anggota tentera laut dan tentera Sri Lanka dikerahkan untuk menyelamatkan mangsa serta membantu pemindahan ke tempat selamat.
  • Bencana ini berlaku ketika Sri Lanka masih dalam usaha memulihkan kerosakan besar akibat Taufan Ditwa yang melanda pada November lalu.
Dijana oleh AI
COLOMBO: Sri Lanka menutup sekolah di beberapa kawasan pergunungan yang terkenal dengan tanaman teh pada Selasa (4 Ogos), selepas hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang meragut lima nyawa.

Tiga lagi cedera manakala dua orang dilaporkan hilang.

Menurut Pusat Pengurusan Bencana Sri Lanka, hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan kemusnahan di banyak kawasan, dengan rumah, ladang dan jalan raya dilanda banjir.

Kawasan pergunungan di bahagian tengah negara itu paling teruk terjejas akibat cuaca ekstrem tersebut.

Jurucakap pusat itu, Pradeep Kodippili, berkata lima mangsa terkorban selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang melanda dua rumah di wilayah tengah Sri Lanka.

Hujan dan banjir turut merosakkan 129 buah rumah, manakala hampir 2,000 orang dipindahkan.

Anggota tentera laut dan tentera Sri Lanka dikerahkan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap akibat banjir serta membantu memindahkan penduduk ke tempat selamat.

Rakaman televisyen tempatan menunjukkan anggota tentera dan orang awam menyelamatkan penduduk yang terperangkap di rumah masing-masing.

Batu-batu besar, tanah runtuh dan tiang elektrik yang tumbang turut menghalang lalu lintas di beberapa jalan raya utama di wilayah tengah.

MASIH PULIH DARIPADA TAUFAN DITWA

Bencana terbaharu itu berlaku sedang Sri Lanka masih berusaha pulih daripada kemusnahan akibat Taufan Ditwa pada November lalu.

Taufan tersebut meragut hampir 640 nyawa, menjejas sekitar dua juta orang dan menyebabkan kerosakan dianggarkan bernilai US$4.1 bilion.

Wilayah Tengah paling teruk dilanda taufan itu dan kerajaan Sri Lanka masih berusaha membina semula jalan raya, landasan kereta api dan rumah yang rosak.

Banjir dan tanah runtuh merupakan antara bencana alam paling merosakkan di Sri Lanka setiap tahun.

Hujan monsun lebat lazimnya mencetuskan tanah runtuh di kawasan berbukit di bahagian tengah negara itu, manakala kawasan rendah berdepan risiko banjir.
Sumber : AP/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita