5 maut, 41,000 penduduk dipindahkan dalam banjir 'sekali setiap 100 tahun' di M'sia

(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda hujung minggu lalu meragut nyawa lima lelaki di Selangor dan Pahang, menurut laporan media di Malaysia.
Ketua polis Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Baharudin Mat Taib berkata, tiga daripada mangsa dijumpai di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini (20 Dis).
Dua daripada mereka dipercayai penduduk tempatan manakala identiti mangsa ketiga masih lagi belum dikenal pasti, lapor Sinar Harian.
ACP Baharudin sebelum itu menyatakan bahawa mayat ditemui oleh penduduk di kawasan kondominium Alam Idaman, Shah Alam, Selangor selepas air mula surut sekitar pukul 7.50 malam pada Ahad (19 Dis).
"Selepas menerima panggilan kecemasan yang melaporkan ada mayat seorang lelaki dalam lingkungan usia 30 tahun, para penyelamat segera dikerahkan ke tempat tersebut.
"Mangsa dipercayai lemas," kata ketua polis seperti yang dinukil Malay Mail.
Bernama pula melaporkan bahawa lelaki yang belum dikenal pasti itu merupakan penduduk kondominum Residensi Hijauan dan kes itu disahkan sebagai kematian secara mengejut.
Kematian seterusnya dilaporkan di Kuantan, Pahang. Mayat seorang lelaki berumur 34 tahun ditemui di Kampung Cempaka pada pukul 7.15 pagi hari ini (20 Dis).
Radio BERNAMA, seperti yang dipetik oleh Malay Mail, menulis bahawa mangsa adalah Encik Mohd Halmi Nazlan, yang sedang dalam perjalanan bersama seorang lagi lelaki menuju ke Pekan dari Kuantan.
Mayat lelaki tersebut dijumpai hampir sehari selepas dia dibawa arus jauh daripada keretanya dan ditemui oleh para penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, tambahnya.
Kereta mangsa ditemui tenggelam kira-kira 100 meter daripada jambatan, di mana mereka hilang kawalan kenderaan tersebut, lapor Malay Mail.
Sementara itu, lagi lapan orang dilaporkan hilang di Bentong, Pahang. Mereka dipercayai hanyut dibawa arus air banjir.
Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, tiga orang, termasuk seorang budak berusia enam tahun dilaporkan hilang dalam insiden air naik laju di sebuah chalet, sementara lima lagi orang dilaporkan hilang di Telemong.
Hujan lebat mulai jatuh di pantai barat Semenanjung Malaysia pada Jumaat lalu (17 Dis) dan disifatkan sebagai kejadian "sekali dalam 100 tahun".
"Jumlah tahunan hujan di Kuala Lumpur adalah 2,400 milimeter dan ini bermaksud pada Jumaat (17 Dis), air hujan melebihi jumlah purata dalam sebulan. Ia merupakan sesuatu di luar jangkaan dan hanya berlaku sekali dalam setiap 100 tahun," kata Setiausaha Agung Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Zaini Ujang, menurut laporan Bernama.
Banjir itu menjejas ribuan penduduk yang terpaksa dipindahkan dan ramai lagi terperangkap di dalam kenderaan dan rumah mereka.
Di semenanjung itu, lebih 41,000 mangsa sudah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara pada Ahad (19 Dis), menurut Bernama.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyatakan bahawa tujuh negeri dan satu wilayah persekutuan terjejas akibat banjir, terutamanya Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak and Kuala Lumpur.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.