Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

5 maut, 40,000 dipindahkan sedang banjir monsun landa Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
YANGON: Banjir dan tanah runtuh akibat hujan monsun meragut lima nyawa dan memaksa kira-kira 40,000 orang untuk berpindah di Myanmar, menurut pegawai berkuasa pada Jumaat (11 Ogos).

Rakaman video dari wilayah Rakhine, yang dimusnahkan Taufan Mocha pada Mei, menunjukkan sebahagian besar kampung dan tanah pertanian ditenggelami air keruh berwarna kuning dan coklat.

Myanmar dilanda hujan lebat sekitar waktu ini setiap tahun, namun cuaca melampau berlaku di seluruh dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim, kata para saintis.

Lima orang maut, kata Cik Lay Shwe Zin Oo, pengarah Kementerian Kebajikan Sosial, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, kepada AFP.

Kira-kira 37,000 orang sudah dipindahkan di seluruh negara itu, tambahnya, dengan angka tersebut dijangka naik melebihi 40,000 pada Jumaat.

"Jabatan kami sedang menghulurkan barang keperluan asas kepada isi rumah yang sudah dipindahkan ke kem sementara," kata Cik Lay.

Banjir bermula pada lewat Julai dan menjejas sembilan negeri dan wilayah negara itu, termasuk Rakhine, Kachin, Karen, Mon dan Chin.

Di wilayah Karen, tanah runtuh menyekat sebuah jalan raya yang menghubungkan bandar di sempadan Thailand. Junta berkata ia akan mengambil satu bulan untuk membina jambatan sementara.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam sekuat-kuatnya tindakan junta terhadap Taufan Mocha yang meragut 148 nyawa dan memusnahkan sejumlah besar rumah.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan