Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

5 maut, 22 cedera dalam serangan pengganas ke atas tapak aeroangkasa Turki

Anggaran Waktu Membaca:
 5 maut, 22 cedera dalam serangan pengganas ke atas tapak aeroangkasa Turki

Menteri Dalam Negeri Turki Ali Yerlikaya berkata pelaku "besar kemungkinan" adalah anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan di negara itu. (Gambar: Adem ALTAN / AFP)

Diterbitkan : 24 Oct 2024 07:19AM Dikemas Kini : 24 Oct 2024 11:39AM
ANKARA: Dua penyerang membunuh lima orang dan mencederakan 22 yang lain pada Rabu (23 Okt) dalam apa yang disifatkan oleh Ankara sebagai serangan pengganas di ibu pejabat Turkish Aerospace Industries, di mana para saksi berkata mereka mendengar tembakan dan letupan.

Menteri Dalam Negeri Turki Ali Yerlikaya berkata kedua-dua penyerang terbunuh selepas serangan itu, sambil menambah dua daripada mereka yang cedera kini dalam keadaan tenat.

Penyiar TV menunjukkan rakaman penyerang bersenjata memasuki bangunan TUSAS berhampiran Ankara.

"Dua pengganas mati ditembak dalam serangan pengganas di tapak TUSAS Ankara Kahramankazan," kata Encik Yerlikaya.

"Malangnya, 5 terbunuh dan 22 cedera dalam serangan itu. Tiga daripada yang cedera sudah keluar dari hospital, 19 daripada mereka sedang dirawat," katanya.

Encik Yerlikaya juga berkata pelaku "besar kemungkinan" adalah anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan di negara itu.

"Gaya tindakan itu menunjukkan kemungkinan besar PKK yang melakukan serangan tersebut. Sebaik sahaja pengecaman wajah selesai dan bukti lain menjadi lebih jelas, kami akan berkongsi maklumat yang lebih konkrit dengan anda," katanya.

Pihak pendakwa raya telah melancarkan siasatan, lapor Agensi Anadolu.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, bersama Presiden Vladimir Putin dari Rusia semasa persidangan BRICS di bandar Kazan di Rusia, mengutuk serangan itu dan menerima ucapan takziah dari Encik Putin.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) turut mengutuk serangan itu.

Para saksi memberitahu Reuters bahawa pekerja di dalam bangunan itu telah dibawa ke tempat perlindungan oleh pihak berkuasa dan tiada sesiapa pun dibenarkan keluar selama beberapa jam.

Mereka berkata letupan yang mereka dengar mungkin berlaku di pintu keluar sedang para pekerja meninggalkan tempat kerja pada hari itu.

Menurut para saksi, pemindahan kakitangan dari kampus TUSAS sudahpun dimulakan dan bas dibenarkan meninggalkan kawasan itu memandangkan operasi sudah tamat.

Para penyiar menunjukkan imej pintu pagar yang rosak dan rakaman tembakan di tempat letak kereta, serta dua penyerang yang membawa senapang dan beg galas ketika mereka memasuki bangunan tersebut.

Ambulans dan helikopter kemudian tiba di tempat kejadian.

TUSAS ialah pengeluar aeroangkasa terbesar Turki, yang kini mengeluarkan pesawat latihan, helikopter tempur dan awam, serta membangunkan jet pejuang buatan sendiri, KAAN.

Dimiliki oleh Yayasan Angkatan Tentera Turki dan pemerintah negara itu, ia menggajikan lebih 10,000 orang.

Setiausaha Agung NATO Mark Rutte mengecam serangan itu dan berkata perikatan tentera NATO akan berdiri teguh bersama sekutunya Turki.
Sumber : Agensi berita/AW/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan