Skip to main content

Dunia

5 firma berpangkalan di SG dikenakan sekatan atas peranan dalam perang Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
5 firma berpangkalan di SG dikenakan sekatan atas peranan dalam perang Rusia

Gambar: Sergei SUPINSKY / AFP

Diterbitkan : 01 Nov 2024 09:45PM Dikemas Kini : 01 Nov 2024 09:47PM
SINGAPURA: Lima firma yang berpangkalan di Singapura dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat atas peranan mereka dalam usaha Rusia berperang dengan Ukraine, menurut pemerintah Amerika Syarikat pada Rabu (30 Okt).

Firma-firma itu juga telah dimasukkan ke dalam Senarai Warga Yang Ditetapkan Khas dan Orang Yang Disekat oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Amerika pada Rabu mengambil tindakan terhadap hampir 400 entiti dan individu di merata dunia kerana "membolehkan Rusia terus berperang", menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat.

"Jabatan itu berusaha untuk menyekat rangkaian dan saluran di mana Rusia memperoleh teknologi dan peralatan daripada entiti-entiti di negara ketiga untuk menyokong usaha perangnya," tambah jabatan tersebut.

Tindakannya pada Rabu menyasarkan "pengeluar, pengeksport, dan pengimport barangan penting kepada pangkalan industri tentera Rusia".

Rusia menyerang jirannya Ukraine pada Februari 2022 – perang yang telah meragut beratus-ratus ribu nyawa.

FIRMA-FIRMA BERPANGKALAN DI SINGAPURA TERLIBAT

Lima firma yang berpangkalan di Singapura dinamakan dalam sekatan oleh pemerintah Amerika Syarikat.

Powerman International, yang mereka bentuk dan menghasilkan peralatan elektrik, dikenal pasti untuk "beroperasi atau telah beroperasi dalam sektor teknologi ekonomi Rusia", kata Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Firma itu, yang berpangkalan di Prudential Tower di Cecil Street, telah menghantar barangan keutamaan tinggi bernilai kira-kira AS$4.5 juta – termasuk papan induk dan sistem bekalan kuasa tanpa gangguan yang berasal dari Kesatuan Eropah – kepada syarikat yang berpangkalan di Rusia antara Mac 2023 dan Februari tahun ini, menurut jabatan itu.

Mediacorp telah menghubungi Powerman International untuk mendapatkan komen.

Empat lagi firma tempatan juga dikenal pasti sebagai sebahagian daripada rangkaian syarikat perkapalan yang membantu Novatek, pengeluar LNG terbesar Rusia, mendapatkan kapal untuk operasinya.

"Projek Arctic LNG 2 bergantung kepada teknologi syarikat perkhidmatan asing dan sokongan logistik maritim," menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai projek di mana Novatek adalah pemegang saham utama.

Untuk mengelak sekatan Amerika, firma Rusia telah memperoleh kapal tangki LNG terpakai, kebanyakannya melalui syarikat dalam bidang tenaga negara ketiga, untuk menampung kekurangan kritikal kapal tangki yang tersedia untuk projek itu, menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Firma-firma yang berpangkalan di Singapura, LNG Alpha Shipping, LNG Beta Shipping, LNG Delta Shipping dan LNG Gamma Shipping, sebahagian besarnya dimiliki oleh New Transhipment FZE, anak syarikat Novatek yang berpangkalan di Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Daripada empat syarikat itu, LNG Alpha Shipping diterajui oleh warga Rusia, menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Semua syarikat itu didaftarkan di alamat yang sama di Fortune Center di Middle Road.

Keempat-empat syarikat itu adalah pemilik berdaftar syarikat perkapalan LNG North Air, North Mountain, North Way dan North Sky - kapal yang sebelum ini dikenal pasti sebagai sebahagian daripada "armada sulit" Rusia.

Mediacorp telah menghubungi Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) untuk mendapatkan komen.
Sumber : CNA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita