Skip to main content

Dunia

5 ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram kekal ditahan untuk disiasat

Anggaran Waktu Membaca:
5 ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram kekal ditahan untuk disiasat

Pegawai polis forensik di luar balai polis Ulu Tiram di Johor, Malaysia, di mana dua pegawai polis dibunuh pada 17 Mei 2024. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

KUALA LUMPUR: Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor kekal ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak polis boleh menggunakan undang-undang tersebut untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian yang berlaku.
"Buat masa ini mereka kekal seperti diumumkan oleh Ketua Polis Negara (Razarudin Husain) iaitu ditahan di bawah Sosma.

"Undang-undang itu membolehkan kita untuk guna pakai dan (untuk) maksud proses (siasatan) yang berlaku untuk membolehkan siasatan berlangsung.

"Mereka juga ada pilihan untuk membawa peguam kerana Sosma membenarkan untuk (suspek) berbuat demikian," katanya dalam sidang media pada Jumaat (14 Jun), dipetik daripada Astro Awani.

Beliau sebelum itu hadir Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous dan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Menteri Dalam Negeri Bersama PDRM di Pusat Latihan Polis Malaysia (PULAPOL).

Pada 24 Mei lalu, Encik Razarudin berkata kesemua suspek yang berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan semula di bawah Sosma selepas tempoh reman mereka berakhir.

Sosma membenarkan penahanan mana-mana suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan, menurut Astro Awani.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Penyerang terbabit maut ditembak dalam kejadian berkenaan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita