5,000 hadir di himpunan tuntut keadilan untuk arwah Adib
Sekitar 5,000 orang hadir di perhimpunan 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy' yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni hari ini (25 Dis).
Anggota bomba Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim.
KLANG: Sekitar 5,000 orang hadir di perhimpunan 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy' yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni hari ini (25 Dis).
Peserta perhimpunan hadir mengenakan baju berwarna hitam sebagai tanda sokongan agar mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian yang menyebabkan kematian anggota bomba Encik Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
Arwah Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada jam 9.41 malam 17 Dis lalu selepas kira-kira tiga minggu menerima rawatan di institut berkenaan.
Peserta perhimpunan terlebih dahulu berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang bagi menunaikan solat jenazah ghaib bagi Muhammad Adib dan solat Asar secara berjemaah yang diketuai imam masjid itu Mohd Azrun Tuniran.
Para peserta mula berarak ke Dataran Seni Klang yang terletak kira-kira 400 meter dari masjid berkenaan pada kira-kira jam 5.15 petang sambil mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) turut memberikan ucapan di perhimpunan berkenaan.
Wakil penganjur, Encik Abu Bakar Mohamed dalam ucapannya menuntut pihak berkuasa segera mencari dalang insiden yang menyebabkan kematian Encik Muhammad Adib selain menuntut agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dipecat.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Encik Zambri Mohd Isa pula menuntut agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan segera bagi memastikan siasatan yang lebih telus tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
Himpunan berkenaan mendapat sokongan beberapa NGO lain antaranya Gerakan Srikandi Malaysia, Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang, Badan Amal Tarbiyah Sejagat, Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia dan Kebajikan Sejagat Malaysia.
Perhimpunan berlangsung tanpa sebarang kekecohan dan peserta mula beredar meninggalkan lokasi pada kira-kira jam 6.30 petang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.