Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

49,152 jemaah Haji Indonesia sudah berangkat ke Saudi

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Kementerian Agama Republik Indonesia melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 49,152 jemaah haji negara itu sudah berangkat ke Arab Saudi setakat Isnin (20 Jun) bagi menunaikan ibadah Haji 2022. 

"Menurut laporan Panitia Penyenggara Ibadah Haji (PPIH) Arab Saudi pada Isnin (20 Jun), 3,206 jemaah sudah tiba di Jeddah. Dengan itu, jumlah jemaah yang sudah berangkat ke Arab Saudi adalah 49,152," kata jurucakap PPIH Akhmad Fauzin semasa sidang media pada Isnin (20 Jun). 

Menurut Encik Akhmad, 3,204 jemaah yang berangkat pada Isnin (20 Jun) adalah sebahagian daripada fasa kedua keberangkatan Haji dan mereka akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz. 

Mereka dijadual menunaikan ibadah Umrah dan aktiviti-aktiviti lain sebelum berwukuf di Arafat. 

Encik Akhmad turut menjelaskan bahawa jemaah-jemaah yang berangkat itu dibahagikan kepada lapan kumpulan dan enam tempat berlepas: Banjarmasin, Jakarta-Pondok Gede, Lombok, Medan, Solo dan Surabaya. 

Katanya lagi, setakat ini, seramai 160 jemaah Haji Indonesia dilaporkan sakit. Daripada jumlah itu, 54 sudah mendapatkan rawatan pesakit luar, 98 dirawat di Klinik Kesihatan Haji Indonesia (KKHI) dan lapan dirawat di hospital Arab Saudi. 

Tujuh jemaah haji Indonesia meninggal dunia sejauh ini, dedah Encik Akhmad. 

Kementerian Agama sentiasa mengingatkan para jemaah supaya menghadkan aktiviti di luar, memakai kasut, minum air dengan kerap dan menjaga kesihatan mereka dengan makan tepat pada masanya dan berehat secukupnya. 

Tahun ini, Arab Saudi membenarkan sejuta jemaah dari merata dunia untuk menunaikan ibadah Haji. Indonesia diperuntukkan kuota 100,051 jemaah kali ini. 

Meskipun ia sudah membenarkan jemaah asing untuk menunaikan Haji tahun ini, Arab Saudi menetapkan dua syarat yang mesti dipatuhi. 

Pertama, para jemaah mestilah berusia bawah 65 tahun dan sudah mendapatkan dua dos vaksin COVID-19 yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Saudi. 

Kedua, jemaah asing perlu membawa sijil bagi menunjukkan hasil negatif ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), dengan ujian itu diambil kurang 72 jam sebelum berangkat. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan