Skip to main content

Dunia

4,900 perjalanan kereta api, 2 juta penumpang dijangka gunakan metro tapak suci sepanjang 7 hari Haji

Anggaran Waktu Membaca:
4,900 perjalanan kereta api, 2 juta penumpang dijangka gunakan metro tapak suci sepanjang 7 hari Haji

Haramain High Speed merupakan sebahagian daripada rangkaian yang menghubungkan dua bandar suci Islam Arab Saudi iaitu Makkah dan Madinah dalam gambar yang dipetik pada 12 Disember, 2019. (Gambar fail: GIUSEPPE CACACE / AFP)

Diterbitkan : 03 Jun 2025 12:26PM Dikemas Kini : 03 Jun 2025 12:27PM
RIYADH: Kereta api di Laluan Metro Al-Mashaaer Al-Mugaddassah dijangka melakukan sebanyak 4,900 perjalanan, membawa sehingga 2 juta penumpang, dalam tempoh hanya tujuh hari semasa Haji.

Metro tersebut, yang dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Sacred Sites Train Line, adalah sistem kereta api berkapasiti tinggi di Makkah yang beroperasi hanya tujuh hari setahun, semasa Haji, sebagai perkhidmatan ulang-alik untuk membawa jemaah haji ke dan dari tapak-tapak suci.

Memberikan gambaran pada Isnin (2 Jun) mengenai sistem pengangkutan yang akan berkhidmat untuk jemaah haji, Saleh Al-Zuwaid, jurucakap Kementerian Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik, berkata persediaan menyeluruh sudah dilakukan menjelang ibadah tahunan ini merangkumi semua sektor perjalanan, termasuk udara, darat, laut dan logistik, menurut laporan Arab News. 

"Setakat ini, 3,314 penerbangan dari 238 destinasi di 71 negara, melalui 62 syarikat penerbangan, sudah tiba di sini," katanya.

Terdapat peningkatan sebanyak 75 peratus dalam bilangan perjalanan di Haramain High Speed Railway, berbanding tahun lalu, tambahnya, dan inisiatif "Haji tanpa Bagasi" membolehkan jemaah haji yang tiba di Arab Saudi untuk bergerak ke Makkah menerusi kereta api sementara bagasi mereka diangkut secara berasingan untuk kemudahan, lapor Arab News. 

Tambahan pula, lebih 25,000 bas sudah disediakan untuk memastikan pergerakan jemaah haji selamat dan selesa, disokong oleh proses pemeriksaan yang menyeluruh, katanya.

Teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan, juga sedang digunakan untuk meningkatkan pengangkutan, kata Al-Zuwaid. Armada kenderaan yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan sedang mengimbas jalan raya negara, dari pelabuhan ketibaan ke tapak-tapak suci, untuk membantu meningkatkan keselamatan dan memastikan penyenggaraan yang diperlukan sedang dijalankan. Tahun ini, teknologi canggih ini sudah membantu menyenggara 7,400 kilometer jalan raya yang menuju ke tapak-tapak suci.

Menjelaskan kemajuan dalam prasarana digital, Saad Al-Shanbari, jurucakap komunikasi dan teknologi Haji, berkata bahawa liputan 4G dan 5G di Makkah, Madinah dan di tapak-tapak suci kini melebihi 99 peratus, dengan peningkatan ketara dalam kelajuan internet, menurut laporan Arab News. 

Lebih 10,500 titik akses Wi-Fi sudah dipasang untuk memperkaya pengalaman digital jemaah haji, tambahnya. Sistem pengurusan orang ramai dan komunikasi khusus yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan turut dilaksanakan dengan kerjasama Aramco Digital, untuk membantu memastikan pengalaman digital yang boleh dipercayai sepanjang musim Haji.

Para jurucakap mengesahkan semula komitmen mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan menggalakkan jemaah haji untuk mematuhi garis panduan rasmi yang direka untuk meningkatkan pengalaman mereka dan memastikan keselamatan mereka.

Haji bermula pada Rabu, 4 Jun, dan akan berterusan sehingga Isnin, 9 Jun.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita