Skip to main content

Dunia

47 orang cedera selepas kereta rempuh penyokong Liverpool

Sebuah kereta merempuh sebilangan besar penyokong Liverpool di pusat bandar itu semasa sambutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada Isnin (26 Mei), dengan polis menyatakan seorang lelaki sudah diberkas.

Anggaran Waktu Membaca:
47 orang cedera selepas kereta rempuh penyokong Liverpool

Keadaan di tempat kejadian setelah sebuah kereta merempuh sebilangan besar penyokong Liverpool di pusat bandar itu semasa sambutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 26 Mei 2025. (Gambar: AFP/Paul Ellis)

LIVERPOOL, England: Sebuah kereta merempuh sebilangan besar penyokong Liverpool di pusat bandar itu semasa sambutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada Isnin (26 Mei), dengan polis menyatakan seorang lelaki sudah diberkas.

"Apa yang boleh saya beritahu anda adalah kami percaya ini adalah kes terpencil, dan kami tidak memburu sesiapa lagi berkaitan kes ini," kata Jennifer Sims, penolong ketua konstabel Polis Merseyside di sidang media.

Beliau menambah seorang lelaki Britain berusia 53 tahun diberkas sejurus selepas rempuhan itu dan dia dipercayai pemandunya.

Khidmat ambulans Britain menyatakan 20 orang dirawat bagi cedera ringan manakala 27 dihantar ke hospital dengan dua daripada mereka mengalami cedera parah.

Polis Britain menyatakan pihaknya memberi respons kepada aduan mengenai kereta yang melanggar "beberapa pejalan kaki" sejurus selepas bas yang membawa para pemain dan kakitangan latihan memandu melalui pusat bandar tersebut, di mana mereka diraikan oleh puluhan ribu peminat.

Puluhan ribu orang hadir meski cuaca hujan lebat bagi meraikan perarakan kemenangan tersebut, yang melibatkan para pemain berada dalam sebuah bas dan juga pertunjukan bunga api.

Bas tersebut melalui Water Street hanya beberapa minit sebelum kereta itu merempuh orang ramai, menurut saksi.

"Ia berlaku begitu pantas," kata Harry Rashid, 48 tahun, dari Solihull, berdekatan Birmingham, tengah England, yang berada di perarakan itu bersama isteri dan dua anak perempuan mereka.

"Pada mulanya kami hanya dengar pop, pop, pop bunyi orang berlanggar dengan bonet kereta," beliau memberitahu wartawan.

"Ia mengerikan dan anda boleh dengar bunyi pelanggaran itu sedang dia melanggar orang."

PENYOKONG MARAH, CUBA DEKATI PEMANDU

Video-video di media sosial yang tidak dapat disahkan menunjukkan sebuah kereta dipandu laju ke arah begitu ramai peminat di jalan raya. Pada satu masa ia juga dilihat membelok jauh daripada kawasan paling ramai orang.

Sejumlah besar polis mengepung kenderaan berkenaan sejurus selepas itu, dengan video-video lain menunjukkan para peminat dalam keadaan marah cuba mendekati pemandu tersebut. Sesetengah orang dilihat terbaring di jalan raya.

Perdana Menteri Keir Starmer menerusi X berkata keadaan itu mengejutkan dan menambah beliau diberikan maklumat terkini mengenai insiden itu.

"Keadaan di Liverpool mengejutkan - ingatan saya bersama mereka yang cedera dan terjejas. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada polis dan khidmat kecemasan atas tindakan pantas dan respons berterusan mereka kepada insiden mengejutkan ini," kata Encik Starmer di media sosial.
Sumber : Agensi berita/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita