Skip to main content

Dunia

436 gambar dari telefon bimbit dikemukakan dalam kes Ebit Lew

Anggaran Waktu Membaca:
436 gambar dari telefon bimbit dikemukakan dalam kes Ebit Lew

Gambar fail: Agensi berita

Diterbitkan : 11 May 2023 07:53PM
TENOM: Saksi ketujuh perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret bahawa sebanyak 436 keping gambar telah diperoleh daripada sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A31 berkaitan kes itu yang dihantar ke makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Juruanalisis Kanan Audio Video PDRM ASP Latifah Abdul Aziz, 43 tahun, berkata selain gambar itu, terdapat empat rakaman video dan 219 gambar tangkap layar juga diperoleh daripada telefon bimbit berkenaan.

Cik Latifah berkata telefon bimbit yang disimpan dalam sampul surat berwarna putih itu telah dihantar ke makmal forensik PDRM Cheras Selangor pada 9 Ogos 2021 kira-kira 3.20 petang iaitu tempat beliau bertugas.

Setelah menerima telefon bimbit itu, beliau telah membuat pemeriksaan fizikal bagi memastikan telefon itu tiada kerosakan dan berfungsi dengan baik sebelum membuat analisis terhadap telefon bimbit itu pada tarikh yang sama.

"Saya menjalankan proses 'extraction' ke atas barang kes (telefon bimbit) dengan menggunakan perisian XRY dan mengenal pasti data yang diperlukan oleh pegawai penyiasat," katanya dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada Khamis.

Cik Latifah berkata beliau mengambil masa kira-kira tiga jam untuk membuat analisa kandungan yang terdapat dalam telefon bimbit itu sebelum menyalin data yang diperoleh itu ke dalam dua cakera padat PDRM yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

Katanya lagi, satu CD tersimpan 436 gambar berserta empat rakaman video manakala satu CD lagi adalah 219 gambar tangkap layar daripada aplikasi WhatsApp.

Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, Cik Latifah juga turut memberitahu bahawa hasil pemerhatiannya mendapati bahawa empat video yang ditayangkan dalam mahkamah pada Khamis tidak mengalami sebarang pengubahsuaian.

Hal tersebut kerana keempat-empat video daripada telefon bimbit yang dimainkan itu bergerak secara 'frame by frame' kerana video yang telah diubah suai akan mengalami satu situasi yang dikenali sebagai 'jumping'.

Ebit Lew, 37 tahun, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an tahun dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Perbicaraan bersambung Jumaat (12 Mei).
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita