43 orang terkorban dalam serangan Kabul
Serangan tembakan dan pengeboman nekad yang belanjutan selama berjam-jam di sebuah bangunan pemerintah di Kabul membunuh sekurang-kurangnya 43 orang, menurut kementerian kesihatan pada Selasa (25 Dis).
KABUL: Serangan tembakan dan pengeboman nekad yang belanjutan selama berjam-jam di sebuah bangunan pemerintah di Kabul membunuh sekurang-kurangnya 43 orang, menurut kementerian kesihatan pada Selasa (25 Dis). Ini menjadikannya antara serangan paling dahsyat di ibu kota Afghanistan tahun ini.
Tiada kumpulan militan mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut menamatkan satu tahun berdarah di Afghanistan sedang ia mencatatkan jumlah rekod orang awam dan pegawai keselamatan yang dibunuh.
Lagi 10 orang cedera dalam serangan pada Isnin di sebuah tapak menempatkan Kementerian Kerja Raya dan beberapa pejabat lain, menurut jurucakap Waheed Majroh.
Lelaki-lelaki bersenjata menggempur tempat tersebut pada waktu petang selepas meletupkan bom kereta di pintu masuk. Para pegawai awam lari dalam ketakutan, dengan sebahagian daripada mereka melompat keluar dari tingkap di tingkat tinggi dalam percubaan melarikan diri dari para penyerang.
Ratusan lagi terperangkap dalam bangunan-bangunan sedang pasukan keselamatan menyerbu kawasan itu dan berbalas tembakan dengan penyerang.
Sekurang-kurangnya empat militan, termasuk pengembom nekad terbunuh dan lebih 350 orang diselamatkan, menurut para pegawai. Kebanyakan mangsa merupakan orang awam, yang sudah menanggung beban peperangan selama 17 tahun.
Serangan itu adalah yang paling dahsyat di ibu kota Afghanistan sejak seorang pengebom nekad meletupkan diri di tengah-tengah satu perhimpunan keagamaan bulan lalu yang meragut 55 nyawa.
Kejadian itu menyusuli pergolakan selama beberapa hari di Afghanistan dengan para pegawai berasa bimbang dengan rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengurangkan jumlah tenteranya. Ramai khuatir keputusan tersebut akan mengancam usaha untuk menamatkan konflik dengan Taliban.
Ramai warga Afghanistan bimbang bahawa pemerintah kesatuan Presiden Ashraf Ghani yang lemah akan gagal jika tentera Amerika Syarikat mengundurkan diri dan membolehkan Taliban kembali merampas kuasa lalu mencetuskan satu lagi perang saudara.
Para anggota militan sebelum ini menyerang kementerian dan jabatan-jabatan pemerintah kerana tempat-tempat ini tidak dilindungi dengan baik dan dilihat sebagai sasaran mudah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.