425 orang diberkas dalam tunjuk perasaan bagi Palestine Action di Britain
Mereka yang ditahan diberkas atas kesalahan termasuk menyerang pegawai polis dan menyokong sebuah pertubuhan yang terlarang. (Gambar: Reuters)
LONDON: Polis Britain memberkas kira-kira 425 orang pada Sabtu (6 Sep) di sebuah tunjuk perasaan yang menyokong Palestine Action, iaitu kumpulan pro-Palestin yang disenarai hitam oleh pemerintah sebagai sebuah pertubuhan pengganasan.
Britain mengharamkan Palestine Action pada Julai selepas beberapa anggotanya menceroboh masuk ke dalam pangkalan udara Tentera Udara Diraja Britain dan merosakkan beberapa pesawat tentera.
Kumpulan itu juga menyasarkan syarikat-syarikat pertahanan yang mempunyai kaitan dengan Israel, sambil menuduh pemerintah berkomplot dalam dakwaan jenayah perang Israel di Gaza.
PENAHANAN BERAMAI-RAMAI
Ratusan penunjuk perasaan berkumpul berdekatan bangunan parlimen di London bagi membantah larangan itu, sambil memegang sepanduk yang tertera: "Saya menentang genosid. Saya sokong Palestine Action."
Polis berkata mereka yang ditahan diberkas atas kesalahan termasuk menyerang pegawai polis dan menyokong sebuah pertubuhan yang terlarang.
"Para pegawai ... mengalami tahap penderaan luar biasa termasuk tumbukan, tendangan, meludah dan dilempar objek, selain daripada dimaki hamun," kata Polis Metropolitan London dalam catatan di platform X.
Larangan itu meletakkan Palestine Action dalam kategori sama dengan al-Qaeda dan ISIS, menjadikan ia satu jenayah untuk menyokong atau menyertai kumpulan itu, dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun boleh dikenakan.
KRITIKAN TERHADAP LARANGAN
Kumpulan hak asasi mengkritik keputusan pemerintah sebagai tidak seimbang dan ia menyekat hak kebebasan bersuara, namun para menteri berkata kumpulan itu menyebabkan kerosakan jenayah bernilai jutaan paun.
Mereka menegaskan larangan itu tidak menghalang tunjuk perasaan pro Palestin lain daripada diadakan.
Polis memberkas ratusan penyokong Palestin Action beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk lebih 500 dalam sehari pada bulan lalu.
Lebih 100 orang sudah didakwa kerana memberi sokongan kepada kumpulan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.