Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

42 peserta Miss and Mister Celebrity International berkampung 2 hari di Melaka

Anggaran Waktu Membaca:
MELAKA: Seramai 42 peserta Miss and Mister Celebrity International 2023 Pageant dari 26 negara akan berkampung selama dua hari di Melaka dalam usaha mempromosikan negeri itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata kumpulan berkenaan yang terdiri daripada pempengaruh, artis dan selebriti terkenal di negara masing-masing, antaranya Belgium, Korea, China, Jepun, Kazakhstan, Laos, Pakistan, India, Myanmar, Mongolia, Thailand, Kemboja, Indonesia dan Malaysia.

"Peserta Miss and Mister Celebrity International 2023 Pageant dilihat akan menjadi duta kecil untuk kita memperkenalkan produk pelancongan di Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan yang perlu dilawati.

"Kita yakin menerusi inisiatif ini, produk pelancongan Melaka dapat dipromosikan secara lebih meluas di peringkat antarabangsa menerusi peserta terlibat khususnya di media sosial mereka memandangkan peserta merupakan individu dikenali serta ramai pengikut," katanya kepada pemberita di Pejabat Pelancongan Negeri Melaka di Jonker Walk hari ini (28 Apr).

Beliau berkata demikian selepas Majlis Meet and Greet Miss and Mister Celebrity International 2023 Pageant yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Abdul Razak Abdul Rahman.

Encik Ab Rauf berkata peserta pertandingan itu akan dibawa melawat destinasi pelancongan khususnya di sekitar Banda Hilir antaranya Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Muzium Baba Nyonya dan Jonker Street.

Beliau berkata selain itu, mereka juga dijangka turut hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka yang akan berlangsung esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh.

Miss and Mister Celebrity International 2023 Pageant berlangsung selama 10 hari di Kuala Lumpur bermula 24 April lalu dan Melaka merupakan salah satu negeri dikunjungi kumpulan selebriti itu sebagai salah satu pengisian program berkenaan.

Pertandingan akhir program itu akan berlangsung di HGH Convention Centre, Sentul di Kuala Lumpur pada 1 Mei depan.

Sementara itu Encik Ab Rauf berkata kerajaan negeri tidak terkesan dengan sebarang tindakan atau agenda politik termasuk dakwaan isu membabitkan seorang exco kanannya dengan rasuah seks.

Menurutnya, sebaliknya semua barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kini memberi fokus sepenuhnya membangun dan memajukan Melaka dalam pelbagai sektor demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan