Skip to main content

Dunia

4,000 penduduk Pakistan dijangkiti demam denggi akibat banjir

Jumlah kes demam denggi dijangka bertambah sekitar 150 hingga 200 kes setiap hari, di samping penyakit-penyakit lain seperti cirit-birit, malaria dan jangkitan kulit.

Anggaran Waktu Membaca:
4,000 penduduk Pakistan dijangkiti demam denggi akibat banjir

(Gambar: AFP/Aamir Qureshi)

Diterbitkan : 16 Sep 2022 07:02PM
ISLAMABAD: Penguasa kesihatan Pakistan memberi amaran mengenai krisis kesihatan kerana penularan penyakit-penyakit bawaan air akibat banjir besar di negara itu.

Jumlah penyakit-penyakit tersebut seperti denggi semakin bertambah dengan banyak sedangkan keadaan banjir belum reda.

4,000 PENDUDUK DIJANGKITI DEMAM DENGGI

Menteri Kesihatan wilayah Sindh memberitahu agensi berita Reuters lebih 4,000 orang kini dijangkiti demam denggi.

Jumlah itu dijangka bertambah sekitar 150 hingga 200 kes setiap hari.

Penyakit-penyakit lain seperti disenteri, cirit birit, malaria dan jangkitan kulit juga semakin bertambah.

Krisis kesihatan tersebut merupakan satu lagi cabaran bagi pihak berkuasa Pakistan yang sudahpun kian tertekan untuk menyediakan bantuan kepada jutaan mangsa banjir yang kehilangan rumah mereka.

Jumlah kematian dalam bencana alam itu pula sudah lebih 1,500 orang dan ramai daripada mereka wanita dan kanak-kanak.

PARA PETANI ALAMI KERUGIAN BESAR DEK BANJIR

Sementara itu, para petani Pakistan terus mengalami kerugian besar kerana banyak kawasan pertanian, musnah dalam banjir sekarang yang menjejas sepertiga negara itu.

Hasil pertanian seperti padi dan gandum yang bernilai berbilion dolar musnah.

Sebuah ladang pisang di bandar Thatta di wilayah Sindh seluas sekitar 8 hektar ditenggelami air banjir.

Malah seorang pekerja turut diupah untuk berenang dalam air banjir bagi mencari pisang-pisang yang boleh diselamatkan. Namun semuanya sudah musnah.

Hampir kesemua pekerja ladang di Sindh sudah kehilangan pekerjaan dan rumah kerana banjir.

Sebahagian daripada mereka kini di kem-kem perlindungan.

Bagaimanapun, ramai juga yang terpaksa berteduh di bawah jejambat-jejambat lebuh raya.

Pesawat-pesawat yang membawa bantuan dari Amiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat tiba semalam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula sedang menilai keperluan pembangunan semula kawasan-kawasan yang musnah akibat bencana alam ini.
Sumber : CNA/AI/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita