Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

400 pembesar suara baru dipasang di ibu kota Afghanistan untuk galak solat

Anggaran Waktu Membaca:
400 pembesar suara baru dipasang di ibu kota Afghanistan untuk galak solat

Gambar: AFP

Diterbitkan : 24 Nov 2022 10:15AM Dikemas Kini : 24 Nov 2022 10:15AM
KABUL: Ratusan pembesar suara dipasang di ibu kota Afghanistan untuk menggalakkan orang ramai mengerjakan solat, menurut penguatkuasa agama Taliban pada Rabu (23 Nov).

Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat menyatakan ratusan kedai kosong dan bangunan lain yang tidak digunakan baru-baru ini sudah diubah menjadi masjid untuk memberi peluang kepada semua orang untuk solat berjemaah.

"Semasa pemerintahan sebelum ini, beberapa pembesar suara ditanggalkan dan orang ramai tidak dapat mendengar azan," menurut kementerian itu dalam hantaran di Twitter.

Kementerian itu menyatakan 400 pembesar suara sudah dipasang di bahagian berlainan di Kabul "supaya orang ramai dapat mendengar azan pada masa yang sama".

Sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu, ia secara beransur-ansur memperkenalkan peraturan ketat yang didakwa mengikut undang-undang syariah Islam.

Wanita antara sebahagian besar golongan yang terhimpit daripada kehidupan awam dengan kebanyakan mereka kehilangan pekerjaan atau dibayar sedikit untuk duduk di rumah.

Selain itu, mereka mesti menggunakan burqa atau tudung apabila keluar dari rumah, dilarang melakukan perjalanan tanpa saudara lelaki dan dilarang melawat taman hiburan, gim atau tempat mandi awam.
Malah, sekolah untuk remaja perempuan juga ditutup di seluruh negara.

Awal bulan ini, pemimpin tertinggi, Hibatullah Akhundzada mengarahkan hakim untuk menguatkuasakan sepenuhnya aspek undang-undang Islam termasuk hukuman mati awam, rejam dan sebatan serta pemotongan anggota badan bagi kesalahan mencuri.

Media tempatan juga melaporkan pada Rabu bahawa kementerian mengarahkan kedai-kedai di bahagian tertentu di Kabul ditutup untuk solat Jumaat.
Sumber : AFP/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa