40 maut susuli hujan lebat di timur Afghanistan; 17 terkorban dalam nahas bas
Gambar: Shafiullah Kakar/AP
ISLAMABAD: Hujan lebat yang melanda timur Afghanistan menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang maut dan hampir 350 yang lain cedera.
Demikian menurut para pegawai Taliban pada Selasa (16 Jul).
Dalam laporan berasingan, sekurang-kurangnya 17 orang terkorban selepas sebuah bas terbalik di lebuh raya utama, lapor media rasmi.
Sharafat Zaman Amar, seorang jurucakap bagi Kementerian Kesihatan Awam, mengesahkan bahawa 40 orang maut ekoran ribut yang melanda pada Isnin lalu, manakala seramai 347 orang yang cedera telah dikejarkan ke hospital rantau itu di Nangarhar dari Jalalabad, ibu kota wilayah Nangarhar, dan daerah-daerah berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Dalam kalangan mereka yang terkorban termasuk sebuah keluarga yang terdiri daripada lima anggota. Mereka maut selepas bumbung rumah mereka runtuh di daerah Surkh Rod, menurut jurucakap wilayah Sediqullah Quraishi. Empat lagi anggota keluarga yang lain turut cedera.
Kira-kira 400 buah rumah dan 60 tiang elektrik musnah di seluruh wilayah Nangarhar, kata Encik Quraishi. Bekalan elektrik terputus di banyak kawasan dan komunikasi terhad di bandar Jalalabad, katanya. Tahap kerosakan masih diperiksa, jelas Encik Quraishi.
Dalam laporan berasingan, agensi berita rasmi Taliban Bakhtar melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 34 lain cedera apabila sebuah bas terbalik pada Selasa pagi di lebuh raya utama yang menghubungkan Kabul dan Balkh di bahagian utara wilayah Baghlan.
Punca nahas berkenaan masih tidak diketahui, tetapi keadaan jalan raya yang buruk serta tindakan memandu secara cuai seringkali dipersalahkan atas insiden sedemikian di negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.