Skip to main content

Dunia

4 warga Thailand diekstradisi ke M'sia berkaitan kes kem pemerdagangan manusia

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Empat warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 diekstradisi ke Malaysia pada Khamis(22 Jun) bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah di Malaysia pada Jumaat (23 Jun).

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata penyerahan keempat-empat individu itu dilaksanakan hari ini berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lepas, dan mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar pada Jumaat bagi tujuan pertuduhan.

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara.
Susulan itu, Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada Thailand terhadap 10 individu warga Thailand pada 6 Januari 2017 dan kedua-dua negara berusaha untuk mengesan kesemua individu berkenaan bagi melaksanakan proses ekstradisi.

Encik Saifuddin Nasution menerusi kenyataan pada Khamis berkata hasil daripada kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu sudah berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

Beliau berkata kes ekstradisi itu sudah berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lepas akhirnya mengeluarkan perintah penahanan ke atas keempat-empat individu itu untuk diserahkan kepada Malaysia.

“Kerajaan Malaysia amnya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Thailand dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian ini berjalan lancar.

“Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi menjejaki individu lain yang terlibat untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Encik Saifuddin berkata KDN sentiasa komited dalam menjaga keselamatan sempadan Malaysia dan memandang serius isu-isu jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan orang asing.

“Usaha berterusan melalui operasi bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita