Skip to main content

Dunia

4 warga Malaysia maut selepas hadir konsert Tahun Baharu di Bandar Sunway

Anggaran Waktu Membaca:
4 warga Malaysia maut selepas hadir konsert Tahun Baharu di Bandar Sunway

Gambar: pinkfishfestival/Instagram

Diterbitkan : 02 Jan 2025 04:44PM Dikemas Kini : 02 Jan 2025 04:47PM
PETALING JAYA: Empat warga tempatan masing-masing dua lelaki dan dua wanita meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, pada Selasa (31 Dis).

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata pihaknya menerima empat laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berhubung kematian tersebut.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati keempat-empat si mati ini telah menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada 31 Disember 2024.

“Proses bedah siasat telah dijalankan 1 Januari 2025, namun punca kematian kami masih menunggu hasil makmal“ katanya dalam kenyataan, dipetik daripada agensi berita Free Malaysia Today.

Encik Hussein berkata, hasil pemeriksaan terhadap semua mangsa yang berumur antara 20 hingga 40 tahun mendapati tiada kecederaan luaran dikesan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau keracunan, lapor Free Malaysia Today.

Sementara itu, pihak penganjur menyatakan bahawa empat individu yang maut selepas menghadiri acara kiraan detik Pinkfish di Pantai Sunway Lagoon Surf, meninggal dunia di luar premis acara tersebut.

Pihak pengurusan Pinkfish tersebut mengatakan bahawa keselamatan para hadirin dan pihak berkepentingan lain sentiasa menjadi keutamaan mereka dalam mengendalikan konsert kiraan detik itu.

Ia menyatakan bahawa pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan ke atas kes itu.

"(Kami) sedia maklum pengesahan polis ke atas kematian ini yang berlaku di luar premis acara tersebut.

"Kami sedang bekerjasama dengan agensi-agensi tertentu untuk menyediakan sokongan yang diperlukan bagi mereka yang terjejas, termasuk keluarga mangsa," nyatanya dalam satu kenyataan.

Pihak pengurusan menjelaskan bahawa mereka telahpun mengambil langkah berjaga-jaga bagi acara itu, termasuk dengan mengerahkan lebih 100 pegawai polis serta kakitangan keselamtan dan unit K9 di pintu masuk.

"Ingatan dan doa kami bersama keluarga empat individu itu serta mereka yang tersayang dalam masa sukar ini," jelasnya.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita