Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

4 sekawan bakal berbasikal dari Afrika Selatan ke Qatar untuk saksikan Piala Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
4 sekawan bakal berbasikal dari Afrika Selatan ke Qatar untuk saksikan Piala Dunia

Lucas Ledezma dan lagi 3 individu akan mengayuh basikal dari Afrika Selatan ke Qatar. (Gambar Lucas Ledezma/Facebook)

Diterbitkan : 29 Apr 2022 09:54AM Dikemas Kini : 29 Apr 2022 09:54AM

BUENOS AIRES: Empat sekawan dari Argetina akan mengayuh basikal sejauh 10,500 kilometer dari Afrika Selatan ke Qatar untuk menyokong pasukan bola sepak negara mereka di Piala Dunia 2022 pada November nanti.

Ini adalah inisiatif yang juga akan membawa kepada 10,500 pokok baru ditanam di negara mereka.

Lucas Ledezma, Leandro Blanco Pighi, Silvio Gatti dan Sebastian Rodriguez, dari wilayah Cordoba, yang mula berbasikal pada 15 Mei dari Cape Town ke Doha, iaitu perjalanan yang merentasi 15 negara dalam dua benua.

"Matlamat perjalanan ini adalah untuk melakukan perjalanan sejauh 10,500 kilometer melalui 15 negara selama enam bulan," kata Ledezma, seorang guru pendidikan jasmani berusia 34 tahun kepada Reuters.

"Sasarannya adalah untuk tiba dalam empat atau lima hari sebelum perlawanan pembukaan di Doha," tambah beliau.

Argentina dijadual akan turun padang dalam perlawanan pertama pertandingan tersebut pada 22 November, menentang pasukan Arab Saudi di Stadium Lusail.

Ledezma berpengalaman dalam aksi berbasikal merentas sempadan seperti itu. Selain berbasikal ke Brazil untuk menyaksikan Piala Dunia 2014 dan juga ke Rusia bagi perlawanan akhir pada 2018, beliau pernah mengayuh ke beberapa negara untuk menyokong atlit negaranya di Sukan Olimpik Rio 2018 dan Copa America di Chile pada 2015.

Bagi perjalanannya pada 2022, beliau akan disertai seorang sutradara dokumentari, seorang penulis dan ejen pelancongan.

"Kami sudah merancang berbulan-bulan untuk mengetahui apa yang akan berlaku di setiap negara, kami kaji yang begitu teliti," kata Pighi, penulis berusia 31 tahun.

"Melakukan perjalanan dengan mengayuh basikal adalah sesuatu yang indah kerana kita tidak terlepas mana-mana lokasi, kita dapat merasakan perjalanannya, setiap pokok, setiap rumah, setiap keluarga, kilometer demi kilometer," tambah beliau dengan penuh semangat.

Selain menyaksikan perlawanan-perlawanan Piala Dunia 2022, perjalanan mereka itu menyasarkan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Setiap kilometer yang dilalui akan ditandakan dengan menanam sebatang pokok di pergunungan Codona, yang terletak sekitar 600 kilometer dari barat laut ibu kota negara itu, Buenos Aires.

Sumber : Reuters/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa