4 remaja perempuan pijak al-Quran ditangkap polis
Polis Kelantan menahan empat remaja perempuan berhubung satu kejadian memijak kitab suci Al-Quran di Kampung Gobek Gual Ipoh, Tanah Merah, pada Khamis (19 Jul).
Gambar hiasan (Gambar fail: BERITAmediacorp)
KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan empat remaja perempuan berhubung satu kejadian memijak kitab suci Al-Quran di Kampung Gobek Gual Ipoh, Tanah Merah, pada Khamis (19 Jul).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata kesemua remaja berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan di rumah masing-masing antara jam 10.00 malam hingga 12.00 tengah malam tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dikatakan berlaku di tepi jalan dekat jambatan Kusial Lama, Tanah Merah, kira-kira pukul 2.30 petang pada 13 Julai lalu.
"Kejadian tersebut berlaku apabila remaja perempuan berumur 17 tahun yang memijak Al-Quran itu telah diugut oleh dua lagi remaja berusia 18 tahun untuk mengetahui adakah dia pernah melakukan hubungan seks dengan teman lelaki seorang daripada remaja berkenaan.
"Remaja itu menafikan telah melakukan hubungan seks sebaliknya dipaksa melakukan sumpah dengan cara memijak Al-Quran bagi mengukuhkan penafian tersebut," terang Wan Khairuddin.
Beliau menambah perbuatan itu, bagaimanapun, diketahui oleh kakak kepada suspek yang memijak Al-Quran itu selepas melihat rakaman video di dalam telefon bimbit sebelum bertindak membuat laporan polis pada sekitar jam 9.00 malam semalam.
Beliau berkata kesemua suspek termasuk yang membuat rakaman video berkenaan sudahpun ditangkap dan direman bermula Jumaat (19 Jul) hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.