4 remaja didakwa rogol berkumpulan di Melaka

(Gambar: Agensi berita)
MELAKA: Empat remaja didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat (22 Jul) atas tuduhan merogol secara berkumpulan terhadap pelajar tingkatan lima pada Ahad (17 Jul).
Tertuduh, Khairul Asnawi Rusri, 19 tahun, Muhammad Firdaus Noor Apande, 18 tahun, dan dua lagi remaja berusia 17 dan 16 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan meminta dibicarakan semasa prosiding didengar Hakim Nariman Badruddin, lapor Harian Metro.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama merogol mangsa berusia 17 tahun di Lapangan Terbang Sungai Rambai Aerodrome, Jasin pada kira-kira pukul 4.00 pagi Ahad (17 Jul).
Mereka dituduh mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi tidak menawarkan jaminan, namun, peguam Chua Yong Yi merayu semua tertuduh diberi jaminan.
Peguam memohon jaminan rendah atas alasan Khairul Asnawi adalah pelajar kolej vokasional di Segamat, Johor, manakala Muhammad Firdaus serta kanak-kanak bawah umur 17 tahun tidak bekerja dan tertuduh yang berumur 16 tahun pula adalah pelajar tingkatan empat.
Sementara itu, Khairul Asnawi turut didakwa atas pertuduhan berasingan melakukan serangan seksual fizikal terhadap mangsa sama di tempat, masa dan pada tarikh sama.
Bagai kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Mahkamah membenarkan tertuduh berusia 16 tahun diikat jamin RM5,000 (S$1,558), manakala Muhammad Firdaus dan remaja 17 tahun sebanyak RM7,000 (S$2,182) dengan seorang penjamin masing-masing.
Khairul Asnawi pula dikenakan ikat jamin RM14,000 (S$4,365) bagi dua pertuduhan dan semua tertuduh turut dikenakan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dalam apa juga cara.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 16 Ogos depan untuk serahan dokumen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.