4 produk ini berbahaya: Nuriz Shoppe-Uv, Nuriz-D'Solve, Aura Gorgeous, NV Anti Blemish
Orang ramai dinasihatI menghentikan penggunaan empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin serta segera mendapatkan nasihat pakar kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatI menghentikan penggunaan empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin serta segera mendapatkan nasihat pakar kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua produk Progressive Mix Industries iaitu Nuriz Shoppe-Uv Pearl Cream dan Nuriz-D'Solve didapati mengandungi merkuri.
Produk Aura Gorgeous Beauty Healthy iaitu Aura Gorgeous Night Cream juga dikesan mengandungi merkuri manakala produk Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd iaitu NV Anti Blemish Toner 1 pula mengandungi hydroquinone dan tretinoin.
Beliau memberi amaran kepada para penjual dan pengedar supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
"Penjual diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (21 Dis).
Dr Noor Hisham berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 (S$8,200) atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 (S$16,500) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 (S$26,500) untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 (S$33,000) untuk kesalahan berikutnya.
Beliau berkata produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat pakar kesihatan.
"Kedua-dua bahan racun itu, yang sering digunakan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan, boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, pedih, mengelupas, dan hipersensitif.
“Hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV serta meningkatkan risiko kanser kulit," katanya.
Dr Noor Hisham turut menegaskan bahawa merkuri merupakan bahan toksik yang perlu dielakkan sama sekali dalam apa jua produk kerana ia boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
"Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudian memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut.
“Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," kata beliau lagi.
Pengguna dan orang ramai juga dinasihati untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman http://npra.moh.gov.my/
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.