Skip to main content

Dunia

4 pegawai polis cedera dilibas suspek dengan parang di Kedah

Anggaran Waktu Membaca:
4 pegawai polis cedera dilibas suspek dengan parang di Kedah

Tangkapan skrin daripada sebuah video yang menunjukkan insiden tersebut, yang berlaku di Sungai Petani, Kedah. (Gambar: Facebook/Info Sungai Petani)

Diterbitkan : 16 Feb 2025 04:28PM Dikemas Kini : 16 Feb 2025 04:31PM
SUNGAI PETANI: Empat pegawai polis cedera dilibas dengan parang ketika cuba menahan seorang lelaki yang mengamuk di Taman Seri Astana, Sungai Petani pada Jumaat (14 Feb).

Lelaki terbabit kemudian ditembak oleh pegawai polis tersebut dan meninggal dunia di hospital.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 3.00 petang itu, keempat-empat pegawai polis mengalami kecederaan di kepala, bahu dan tangan.

Bernama pada Sabtu (15 Feb) melaporkan bahawa dua pegawai tersebut telah dibenarkan pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan, sementara dua lagi masih dalam keadaan stabil.

Mereka juga terpaksa melepaskan beberapa das tembakan amaran ke udara dalam usaha mengarahkan suspek menyerah diri.

Menurutnya, dua anggota terlebih dahulu pergi ke rumah suspek untuk menahannya, bagaimanapun dia enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif.

“Dua anggota telah memasuki rumah suspek dan ketika itu suspek yang sudah bersedia dengan dua bilah parang di tangan telah melibas lalu mengenai bahagian kepala dan bahu dua anggota polis.

“Kemudian anggota tambahan pergi ke rumah itu dengan bantuan anggota bomba untuk menyembur air dan ketika itu suspek sekali lagi melibaskan parang lalu terkena dua lagi anggota polis.

“Suspek berusia 32 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani. Dia disahkan meninggal dunia pada jam 1.04 pagi tadi ketika menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Sabtu.

Menurutnya, keempat-empat anggota berusia 20 hingga 50-an tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di HSAH.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 keranan cubaan membunuh.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita