Skip to main content

Dunia

4 orang cedera dalam insiden tikaman rambang di NZ

Empat orang cedera pada Khamis (23 Jun) selepas seorang lelaki mengamuk dan menikam orang awam di bandar terbesar New Zealand, Auckland, menurut pihak berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
4 orang cedera dalam insiden tikaman rambang di NZ

Polis memasang hadangan di bandar Auckland menyusuli beberapa insiden tikaman pada 23 Jun 2022. (Gambar: AP/Michael Craig, New Zealand Herald)

WELLINGTON: Empat orang cedera pada Khamis (23 Jun) selepas seorang lelaki mengamuk dan menikam orang awam di bandar terbesar New Zealand, Auckland, menurut pihak berkuasa.

Media tempatan melaporkan insiden tersebut berlaku di Murrays Bay dan Mairangi Bay di North Shore.

Superintenden Komander Daerah polis Naila Hassan berkata suspek dalam serangan itu mempunyai pisau "yang agak besar" dan kini berada dalam tahanan.

"Ini adalah insiden yang berlaku dengan sangat pantas, di mana kakitangan polis memberi respons dengan cepat, menangkap pesalah itu dan mencegah lebih banyak bahaya kepada masyarakat kita," kata Cik Naila.

Cik Naila juga memuji anggota-anggota masyarakat yang "bertindak dengan sangat berani", menurut 1News New Zealand.

"Sebilangan anggota masyarakat mengekori lelaki berkenaan dan akhirnya salah seorang daripada mereka campur tangan apabila dia menghampiri (Mairangi) Bay," kata beliau di sidang media itu.

"Mereka menangkap pesalah itu sekali gus menghentikan insiden tersebut."

Beliau juga mengesahkan laporan-laporan bahawa seorang anggota masyarakat menggunakan tongkat untuk menghalang pergerakan lelaki itu.

New Zealand Herald melaporkan lelaki itu kini berada di hospital dengan kecederaan sederhana.

Motif penyerang itu tidak segera diketahui.

New Zealand juga melaporkan dua insiden tikaman rambang ganas di pasar-pasar raya tahun lalu. Salah satu insiden dianggap serangan pengganas manakala hakim mengatakan tiada motif dapat dipadankan pada satu lagi serangan itu.
Sumber : AP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita