Skip to main content

Dunia

4 negara tidak beri kerjasama untuk rakam percakapan saksi bank dalam kes 1MDB

Anggaran Waktu Membaca:
4 negara tidak beri kerjasama untuk rakam percakapan saksi bank dalam kes 1MDB

Gambar fail: Bernama

Diterbitkan : 26 Feb 2024 11:09PM
KUALA LUMPUR: Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin (26 Feb) empat negara tidak memberikan kerjasama ketika ia membuat permohonan untuk merakam percakapan beberapa orang saksi bank, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion (S$647 juta) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dihadapi mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

Nur Aida Ariffin, 37 tahun, berkata empat negara yang terdiri daripada Switzerland, Barbados, Hong Kong dan Belanda, tidak memberikan sebarang jawapan atau maklum balas ketika beliau membuat permohonan itu melalui Peguam Negara pada 2018 dan 2019.

"Satu-satunya negara yang memberikan kerjasama adalah Singapura, dengan saksi Kevin Michael Swampillai (saksi pendakwaan ke-44) yang merupakan mantan Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura) telah memberikan keterangan kepada pasukan siasatan.

"Seorang lagi saksi daripada bank sama iaitu Yak Yew Chee (bekas Pengarah Urusan Bank BSI) tidak mahu memberikan keterangan di sini (Malaysia)," katanya ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Ketika ditanya Encik Muhammad Shafee mengenai keberadaan Encik Yak, Cik Nur Aida menjawab 'tidak tahu'.

Pada November 2016, Encik Yak dipenjara selama 18 minggu dan didenda S$24,000 oleh Mahkamah Singapura selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan memalsukan dan dua tuduhan gagal mendedahkan urus niaga mencurigakan berkaitan 1MDB.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-49 itu berkata permohonan untuk merakam percakapan bertulis sudah dibuat kepada Switzerland dan Singapura pada 23 Ogos 2018, Barbados pada 6 Mac 2019 manakala Hong Kong pada 22 Januari 2019.

Cik Nur Aida berkata dia menghubungi lima negara berkenaan untuk memastikan kesahihan dokumen yang diperolehi pihak pendakwaan melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA), bagi membantu siasatannya dalam kes dihadapi mantan perdana menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok (27 Feb).
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita