Skip to main content

Dunia

4 negara Eropah akan beli senjata Amerika bernilai AS$1b bagi Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:
4 negara Eropah akan beli senjata Amerika bernilai AS$1b bagi Ukraine

Presiden Amerika Donald Trump dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy menghadiri mesyuarat di luar sidang puncak NATO di The Hague, Belanda pada 25 Jun 2025. (Gambar: Reuters/Perkhidmatan Media Presiden Ukraine)

STOCKHOLM: Belanda, Sweden, Norway dan Denmark akan membeli senjata Amerika bernilai AS$1 bilion (S$1.29 bilion) untuk menyokong pertahanan Ukraine terhadap Rusia, menurut kenyataan negara-negara tersebut pada Selasa (5 Ogos).

Ini juga menandakan pusingan pertama perbelanjaan di bawah inisiatif baharu NATO.

Perjanjian itu dibuat melalui Senarai Keutamaan Tuntutan Ukraine (PURL), iaitu mekanisme yang dilancarkan bulan lalu oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte untuk menyelaraskan sokongan pertahanan bersekutu kepada Kyiv.

Washington akan menyalurkan senjata dan peralatan ketenteraan untuk Ukraine daripada bekalan simpanannya secara berperingkat bernilai AS$500 juta (S$644 juta) pada satu-satu masa.

MENGHALANG RUSIA

Pemerintah Belanda mengumumkan pembelian bernilai €500 juta (S$745 juta) daripada simpanan senjata Amerika, termasuk alat ganti untuk sistem peluru berpandu Patriot.

Tiga negara Scandinavia pula akan menyumbang bersama bantuan ketenteraan sebanyak AS$500 juta (S$644 juta), dengan Sweden menyumbang AS$275 juta (S$354 juta).

“Dengan menyokong Ukraine secara tegas, kita meningkatkan tekanan terhadap Rusia untuk berunding,” kata Menteri Pertahanan Belanda Ruben Brekelmans dalam catatannya di platform X, sambil menyifatkan serangan udara Rusia yang berlaku hampir setiap hari sebagai “keganasan semata-mata”.

“Semakin besar penguasaan Rusia terhadap Ukraine, semakin besar ancaman terhadap Belanda dan sekutu-sekutu NATO kita,” tambahnya.

Menteri Pertahanan Sweden Pal Jonson berkata Ukraine sedang berjuang demi “keselamatan kita” selain mempertahankan negaranya sendiri.

Stockholm menyatakan sumbangannya akan merangkumi sistem pertahanan udara, peluru untuk Patriot, senjata antikereta kebal, peluru, dan alat ganti.

ZELENSKYY, TRUMP BERBINCANG SEBELUM TARIKH AKHIR

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menyambut baik komitmen baharu ini, menyifatkannya sebagai “inisiatif yang sangat kukuh yang meningkatkan keupayaan kita untuk melindungi nyawa.”

“Langkah-langkah ini merupakan asas sebenar baharu untuk keselamatan jangka panjang di seluruh Eropah. Rusia tidak akan dapat menjadikan Eropah sebagai benua peperangan,” katanya.

Encik Zelenskyy berkata beliau sudah berbual dengan Trump pada Selasa, tiga hari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh presiden Amerika agar Rusia mengemukakan cadangan untuk menamatkan perang.

Dalam catatannya di media sosial, Encik Zelenskyy berkata mereka membincangkan sekatan dan “kerjasama pertahanan dua hala”, tanpa memperincikan lebih lanjut.

NATO PUJI SOKONGAN

Encik Rutte memuji Belanda sebagai negara pertama yang mengumumkan pembiayaan di bawah skim baharu itu dan mengalu-alukan sokongan daripada negara-negara Scandinavia.

“Sejak hari-hari awal pencerobohan besar-besaran Rusia, Denmark, Norway dan Sweden teguh menyokong Ukraine. Saya memuji usaha cepat sekutu-sekutu ini dalam melaksanakan inisiatif ini,” kata Ketua NATO itu.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita