4 maut, puluhan terperangkap dalam bangunan runtuh di Mumbai
Sekurang-kurangnya empat orang mati dan puluhan lagi dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan empat tingkat roboh pada Selasa (16 Jul) di kawasan Dongri di Mumbai, bandar terbesar India.

Usaha menyelamat di tapak bangunan runtuh di Mumbai pada 16 Jul (Gambar: Reuters)
MUMBAI: Sekurang-kurangnya empat orang mati dan puluhan lagi dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan empat tingkat roboh pada Selasa (16 Jul) di kawasan Dongri di Mumbai, bandar terbesar India.
Para anggota bomba dan penyelamat berada di Tandel Street, Dongri, selepas bangunan runtuh pada sekitar 11.40 pagi waktu tempatan, menurut para pegawai.
Seorang pegawai bomba mengesahkan sekurang-kurangnya empat orang maut. Beliau menambah operasi menyelamat terhambat oleh lorong-lorong yang sempit di kawasan itu.
Seorang saksi di tempat kejadian memberitahu Reuters bahawa para penduduk sedang membantu usaha menyelamat dan mereka yang tercedera diangkat dengan tangan ke ambulans-ambulans berdekatan yang tidak dapat sampai ke tempat kejadian.
Menurut Encik Devendra Fadnavis, ketua menteri wilayah Maharashtra di barat India, berdasarkan maklumat awal, sekitar 15 keluarga sedang tinggal dalam bangunan itu yang dikatakan berusia 100 tahun.
Beliau berkata usaha akan ditumpukan pada usaha menyelamat namun pemerintah akan memulakan siasatan.
Polis menyatakan sekurang-kurangnya tujuh orang yang cedera dikejarkan ke hospital. Antara mereka yang diselamatkan adalah dua kanak-kanak, menurut laporan AFP.
"Dalam satu kejadian malang, bangunan Kesarbai di Dongri runtuh pada 11.40 pagi. Menurut maklumat awal, 40 hingga 50 orang mungkin terperangkap dalam runtuhan," pemerintah perbandaran di Mumbai menulis di Twitter.
Ini adalah kejadian runtuh kedua di Mumbai dalam tempoh 10 hari.
Sekurang-kurangnya 12 orang maut apabila sebuah rumah di utara India runtuh akibat monsun yang sejauh ini menyebabkan lebih 85 maut di Selatan Asia, menurut para pegawai pada Isnin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.