Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

4 maut letupan tangki kimia di Britain

Empat orang maut pada Khamis (3 Dis) apabila sebuah tangki kimia meletup di sebuah loji rawatan air sisa di barat England, menurut polis.

Anggaran Waktu Membaca:
4 maut letupan tangki kimia di Britain

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 04 Dec 2020 08:46AM Dikemas Kini : 04 Dec 2020 08:50AM

LONDON: Empat orang maut pada Khamis (3 Dis) apabila sebuah tangki kimia meletup di sebuah loji rawatan air sisa di barat England, menurut polis.

"Kami boleh mengesahkan terdapat empat kematian," kata Ketua Polis Avon dan Somerset Mark Runacres selepas letupan yang berlaku di loji di Avonmouth, dekat Bristol.

Individu kelima mengalami kecederaan yang dikatakan tidak mengancam nyawa, katanya.

Polis menyatakan bahawa mereka tidak akan membuat spekulasi mengenai punca letupan namun menambah bahawa ia tidak dianggap sebagai berkaitan dengan pengganasan.

Perdana Menteri Britain Boris Johnson menulis dalam catatan Twitter bahawa beliau "sangat berdukacita mendapat tahu empat orang terkorban".

"Kami bersimpati dengan para mangsa dan keluarga mereka. Terima kasih kepada khidmat kecemasan yang menangani kejadian itu," katanya.

Letupan di loji yang dikendalikan oleh Wessex Water itu berlaku di sebuah tempat bawah tanah yang menyimpan bio-pepejal yang dirawat sebelum ia dikitar semula sebagai perapi tanah organik, kata Ketua Polis Runacres.

Saksi, Encik Jawad Burhan berkata bahawa sebuah "helikopter mencari orang-orang yang hilang" dan polis mengepung sebatang jalan raya berhampiran menghala ke loji itu.

"Saya terdengar bunyi, saya bekerja bersebelahan bangunan itu di sebuah gudang lain. Selepas 10 minit saya melihat helikopter dan polis," katanya.

Seorang lagi saksi, Encik Kieran Jenkins, memberitahu BBC bahawa beliau berada di sebuah gudang berhampiran apabila letupan itu berlaku, sambil berkata terdapat "gegaran dan kami berdiri dalam keadaan terkejut.

"Selepas itu kami menjenguk ke luar tingkap dan melihat orang ramai lari bertempiaran.

"Kami tidak tahu apa yang berlaku. Ia benar-benar satu kejutan. Saya terdengar bunyi letupan... kami tidak tahu apa yang berlaku."

Satu siasatan telah dilancarkan terhadap letupan itu bersama Eksekutif Kesihatan dan Keselamatan.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan