4 maut dalam nahas motosikal di Pulau Pinang, disyaki terlibat aktiviti lumba haram
Empat orang terkorban manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan beberapa motosikal dan kereta pada awal pagi Ahad (17 Jul).
Gambar fail operasi polis pada Mei 2022. (Gambar: BERNAMA)
Ketua Polis daerah utara-selatan Pulau Pinang, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Soffian Santong berkata kemalangan berlaku sekitar 4 pagi di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, menghala ke George Town.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, ACP Soffian berkata tiga daripada empat penunggang motosikal tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Muhammad Harith Zikri Yusnizar,17, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dan Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25.
Tiga lelaki yang cedera pula dikenalpasti sebagai Mohd Haziq Harris, 34; Muhammad Rahimi Shukor, 19; dan Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22.
Kesemuanya berasal dari Pulau Pinang dan Kedah.
Menurut ACP Soffian, siasatan awal menunjukkan beberapa penunggang motosikal tersebut disyaki terlibat dalam perlumbaan haram sebelum mereka hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.
"Dalam insiden tersebut, dua kereta, sebuah Perodua Myvi dan Proton Waja, juga dilanggar dari belakang oleh kumpulan penunggang motosikal ini," tambah beliau.
ACP Soffian berkata sebelum kejadian tersebut, pasukan polis telah membuat rondaan di lokasi sebagai langkah berjaga-jaga untuk mencegah kegiatan lumba haram.
Menurutnya polis merancang untuk menahan mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Pada Mei lalu, 50 penunggang motosikal diberkas kerana melakukan aksi berbahaya dan terlibat dalam perlumbaan haram di kawasan pantai Seagate, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.