Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

4 maut dalam nahas ketika pulang dari kenduri kahwin

Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub, awal pagi Isnin (29 Mac) sedang dalam perjalanan pulang ke Morib, Selangor selepas menghadiri kenduri kahwin di Kota Bharu, Kelantan.

Anggaran Waktu Membaca:
4 maut dalam nahas ketika pulang dari kenduri kahwin

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Mar 2021 06:35PM Dikemas Kini : 29 Mar 2021 06:36PM

BENTONG: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub, awal pagi Isnin (29 Mac) sedang dalam perjalanan pulang ke Morib, Selangor selepas menghadiri kenduri kahwin di Kota Bharu, Kelantan.

Marlina Abdul Muid, 34, yang kehilangan anak lelakinya Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7, tidak pernah terlintas akan turut kehilangan dua kakaknya Marlianna, 37, dan Marlia, 36, secara serentak dalam kemalangan itu.

Katanya lagi, mereka bergerak pulang ke Morib secara berkonvoi dengan tiga kereta, selepas menghadiri majlis perkahwinan adik lelakinya. Turut maut adalah anak saudara Marlina, Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, 9, yang juga merupakan anak Allahyarham Marlia. 

"Masa bersiap sebelum bergerak, semuanya elok saja...anak saya memang rapat dengan dua ibu saudaranya, sebab itu mereka naik kereta bersama-sama," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Forensik Hospital Bentong pada Isnin.

Marlina yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik berkata, lebih menyayat hati apabila kemalangan itu berlaku di hadapan mata ibu mereka yang menaiki kereta lain bersama-sama adik lelakinya.

"Masa kejadian kereta saya sudah di hadapan manakala kereta mangsa di belakang...ketika dalam perjalanan adik lelaki yang memandu di belakang kereta kakak telefon dan beritahu kakak terlibat dalam kemalangan.

"Kami berpatah balik dan sejurus tiba, anggota bomba berada di tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mereka," katanya sambil menambah kesemua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Morib, Selangor.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu, Marlianna yang juga pemandu Perodua Myvi dan Marlia maut di tempat kejadian manakala Muhammad Aisy Harraz dan sepupunya Muhammad Faizz Aryan, disahkan meninggal dunia pada pukul 6.30 pagi selepas menerima rawatan di Hospital Bentong.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Marlianna cuba memotong sebuah kereta di hadapannya, namun tidak berjaya sebelum bertembung dengan treler yang membawa muatan kereta dari arah bertentangan.

Pemandu treler yang berusia 42 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun bahagian hadapan trelernya itu turut rosak.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan