Skip to main content

Dunia

4 maut, 100 hilang selepas banjir kilat landa kawasan Himalaya India

Anggaran Waktu Membaca:
4 maut, 100 hilang selepas banjir kilat landa kawasan Himalaya India

Bangunan kediaman ditenggelami lumpur di wilayah Uttarakhand, India. (Gambar: AFP/Indian Army)

DEHRADUN, India: Banjir kilat yang membawa arus lumpur yang deras melanda sebuah bandar di kawasan Himalaya, India pada Selasa (5 Ogos).

Ia mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan menyebabkan kira-kira 100 lagi hilang.

Air deras itu membanjiri sebuah lembah sempit dan memusnahkan bangunan.

“Ia adalah satu situasi yang serius,” kata Menteri Negara bagi Pertahanan, Sanjay Seth, kepada agensi berita Press Trust of India (PTI).

“Kami terima maklumat tentang empat kematian dan kira-kira 100 orang hilang. Kami berdoa agar mereka selamat.”

Video yang disiarkan di media India menunjukkan beberapa individu dilihat cuba melarikan diri sebelum dihanyutkan oleh arus deras.

Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami, berkata pasukan penyelamat turut dikerahkan.

"Sejak kejadian berlaku, operasi mencari dan menyelamat dijalankan tanpa henti," katanya.

Tentera India berkata sekitar 150 anggota sudah tiba di kawasan bencana dan berjaya menyelamatkan 20 orang yang masih hidup di bawah lumpur tebal.

“Tanah runtuh besar melanda Dharali, menyebabkan aliran lumpur dan serpihan mengalir deras,” menurut kenyataan rasmi tentera.

Gambar yang dirakam selepas kejadian menunjukkan lumpur menenggelami sebahagian besar bandar.

Sesetengah tempat pula dilitupi lumpur setebal 15 meter sehingga ke bumbung bangunan.

Komander Pasukan Respons Bencana Wilayah, Arpan Yaduvanshi, berkata operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan dengan segala sumber digunakan untuk memindahkan mangsa yang terperangkap.

Perdana Menteri Narendra Modi mengucapkan takziah dalam satu kenyataan dan berkata “segala usaha sedang dijalankan bagi menyalurkan bantuan.”

Ketua Menteri Dhami berkata banjir itu berpunca daripada fenomena hujan lebat yang turun secara tiba-tiba dalam tempoh singkat, yang sering menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan pergunungan.

Jabatan Kaji Cuaca India mengeluarkan amaran merah untuk kawasan itu dan melaporkan hujan sangat lebat, sekitar 21 sentimeter, di beberapa bahagian negeri Uttarakhand.

Banjir dan tanah runtuh adalah perkara biasa semasa musim monsun dari Jun hingga September, tetapi pakar memberi amaran bahawa perubahan iklim dan pembangunan tidak mampan meningkatkan kekerapan dan tahap teruk bencana.

Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) tahun lalu menyatakan bahawa banjir dan kemarau yang semakin ekstrem adalah “isyarat kecemasan” mengenai kesan perubahan iklim terhadap kitaran air global.
Sumber : AGENCIES/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita