Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

4 lelaki M'sia ditahan cuba seludup sekitar 120 etnik Rohingya

Cubaan empat lelaki tempatan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah.

Anggaran Waktu Membaca:
 4 lelaki M'sia ditahan cuba seludup sekitar 120 etnik Rohingya

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad. (Gambar: BERNAMA)

ALOR SETAR: Cubaan empat lelaki tempatan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah pada Selasa (24 Mei).

Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata sepasukan anggota APMM yang membuat rondaan Operasi Aman mengesan dan menahan sebuah bot nelayan tempatan di kawasan perairan tersebut pada 9.20 malam.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 119 etnik Rohingya iaitu 47 lelaki, 32 wanita, 23 kanak-kanak perempuan dan 17 kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berumur lima hingga 38 tahun sedang bersembunyi di ruangan bawah lantai bot berkenaan.

“Turut ditahan ialah empat lelaki tempatan berumur 32 hingga 39 tahun yang mana dua daripadanya adalah penjawat awam. Mereka ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini (26 Mei).

Beliau berkata empat lelaki tempatan itu direman mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Seksyen 4(5) selama 28 hari.

Encik Wan Hassan berkata kesemua pendatang asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditahan di bawah Seksyen 51(1)(b) akta sama selama 14 hari.

“Polis akan menjalankan siasatan secara adil dan telus terutamanya melibatkan isu keselamatan dan imej negara. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi ke atas kes ini. Sekiranya mempunyai sebarang maklumat perlakuan jenayah boleh menghubungi talian MERS 999 atau hadir ke balai polis berdekatan,” katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan