Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

4 gunung berapi Indonesia meletus pada Dis 2023

Anggaran Waktu Membaca:
4 gunung berapi Indonesia meletus pada Dis 2023

Gunung Merapi (Gambar: AFP/DEVI RAHMAN)

INDONESIA: Sejumlah gunung berapi di Indonesia mengalami letusan menjelang hujung tahun 2023.

Pada Disember 2023 sahaja, sudah ada empat gunung berapi yang meletus di Indonesia, lapor Kompas.

Bukan itu sahaja, beberapa gunung berapi juga sudah ditetapkan dengan status tahap tiga atau waspada. Ini disebabkan kegiatan gunung berapi yang meningkat.

4 GUNUNG BERAPI YANG MELETUS PADA DIS 2023

1. GUNUNG MERAPI

Pada Jumaat, 1 Disember 2023, malam, Gunung Merapi yang terletak di perbatasan Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY) dan Jawa Tengah ini kembali meletus.

Menurut Kompas pada Sabtu (2 Dis), kepulan asap panas meletus sejauh 2,000 meter ke arah barat daya (Kali Bebeng) pada pukul 7.27 waktu tempatan dan 1,200 meter ke arah selatan (Kali Boyong) pada pukul 7.47 waktu tempatan.

Berdasarkan pemantauan Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan Geologi (BPPTKG), letusan kepulan asap pertama terjadi sekitar empat minit dengan ketinggian maksimum 40 milimeter.

Kemudian, disusuli letusan kedua sekitar dua minit dan ketinggian maksimum 42 milimeter, laporn Kompas.

Ini merupakan sebahagian daripada rentetan kegiatan gunung berapi yang terjadi sejak 11 Mei 2018.

Sejak itu, kegiatan Gunung Merapi terus meningkat.

Berdasarkan pengamatan dan analisis BPPTKG, buat masa ini Gunung Merapi masih berstatus Tahap 3 atau "waspada" sejak 5 November 2020.

2. GUNUNG MARAPI

Gunung Marapi terletak di daerah Agam dan Tanah Datar, Sumatera Barat.

Ia meletus secara tiba-tiba pada Ahad (3 Dis) sekitar pukul 3.00 petang waktu tempatan, lapor Kompas.

Akibatnya, 23 pendaki maut.

Berdasarkan pemantauan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG), semburan abu Gunung Marapi setinggi kira-kira 5,891 meter dari permukaan laut atau sekitar 3,000 di atas puncak gunung.

Ketua PVBMG Hendra Gunawan berkata letusan Gunung Marapi tidak didahului peningkatan ketara kegiatan gunung berapi.

Bahkan, gegaran gunung berapi itu hanya berlaku sekitar tiga kali antara 16 November dengan 2 Disember 2023, lapor Kompas.

"Ini menunjukkan bahawa proses letusan berlaku dengan cepat dan pusat tekanan sangat cetek, ada di sekitar puncak," kata beliau, seperti dipetik Kompas.

Hingga saat ini, Gunung Marapi masih berstatus Tahap 3 sejak 2011.

3. GUNUNG ILI LEWOTOLOK

Gunung Ili Lewotolok yang terletak di daerah Lembata, Nusa Tenggara Timur (NTT) kembali meletus pada Selasa (5 Dis), pukul 5.41 petang waktu tempatan.

Menurut laporan Kompas, Ketua Pos Pemantau Gunung Api (PGA) Ile Lewotolok, Stanislaus Ara Kian berkata, letusan tersebut mencatat bacaan setinggi maksimum 23.5 milimeter selama lebih kurang satu minit.

Sementara itu, semburan abu dicatat sejauh 500 meter di atas puncak atau sekitar 1,923 meter di atas permukaan laut.

"Semburan abu berwarna putih hingga kelabu condon ke arah barat laut," kata Encik Stanislaus dalam kenyataannya pada Selasa.

Gunung Ili Lewotolok juga statusnya dinaikkan oleh PVMBG menjadi Tahap 3 atau waspada sejak 29 November 2020.

4. GUNUNG ANAK KRAKATAU

Terkini, Gunung Anak Krakatau yang terletak di Sekat Sunda, Lampung Selatan, Wilayah Lampung juga meletus pada Rabu (6 Dis) kira-kira pukul 6.00 pagi waktu tempatan.

Menurut laporan di laman rasmi PVBMG, semburan abu gunung itu setinggi 1,000 meter di atas puncak atau sekitar 1,157 meter di atas pemukaan laut.

Semburan abu berwarna hitam tebal dari gunung itu condong ke arah barat daya laut, lapor Kompas.

Sementara itu, Penyelaras PVBMG, Ahmad Basuki, berkata Gunung Anak Krakatau meletus sebanyak 164 kali antara 26 November dengan 4 Disember 2023.

Beliau menambah, letusan baru-baru ini berlaku disebabkan adanya kenaikan magma ke permukaan akibat keadaan geologi gunung tersebut, lapor Kompas.
Sumber : Agensi berita/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan