4 cedera parah dalam serangan menikam secara rambang di New Zealand
Seorang penyerang yang menggunakan pisau menikam empat orang di sebuah pasar raya New Zealand pada Isnin (10 Mei), mengakibatkan tiga mangsa cedera parah, dalam satu insiden amukan yang menurut pihak berkuasa adalah "rambang" dan tiada kaitan dengan keganasan.

Para pegawai polis mengusung mangsa ke ambulan di luar pasar raya Countdown di tengah Dunedin, New Zealand, pada 10 Mei 2021. (Gambar: Christine O'Connor, Otago Daily Times/AP)
WELLINGTON: Seorang penyerang yang menggunakan pisau menikam empat orang di sebuah pasar raya New Zealand pada Isnin (10 Mei), mengakibatkan tiga mangsa cedera parah, dalam satu insiden amukan yang menurut pihak berkuasa adalah "rambang" dan tiada kaitan dengan keganasan.
Polis menyatakan serangan itu - sangat luar biasa di negara Pasifik Selatan yang biasanya aman - berlaku di sebuah pasar raya Countdown di tengah Dunedin pada jam 2.30 petang (10.30 pagi SGT) dan seorang lelaki sudahpun ditahan.
Saksi-saksi memberitahu media tempatan seorang lelaki membawa dua bilah pisau menikam kakitangan di pasar raya itu. Orang ramai yang berada di tempat kejadian yang cuba menahan suspek turut cedera.
Serangan paling berdarah di New Zealand sebelum ini adalah serangan tembakan di masjid Christchurch pada Mac 2019 apabila seorang lelaki berkulit putih dan bersenjata membunuh 51 jemaah Islam dan mencederakan 40 yang lain.
Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata soalan pertamanya kepada polis adalah sama ada serangan di Dunedin itu mempunyai implikasi keselamatan negara. Polis bagaimanapun meyakinkannya bahawa ia tidak begitu.
"Di peringkat ini, tiada apa yang mencadangkan, daripada sudut pandangan polis, bahawa ini adalah apa yang mereka tentukan sebagai satu peristiwa keganasan dalam negeri," Cik Ardern memberitahu para wartawan.
Komander daerah polis selatan, Paul Basham, menyifatkan kejadian itu sebagai "serangan secara rambang" dan mengatakan pelaku akan dihadapkan ke mahkamah pada Selasa.
Pada awalnya, pihak berkuasa melaporkan lima orang ditikam namun kemudian mengubahnya menjadi empat orang. Encik Basham berkata penyerang turut mengalami cedera ringan semasa insiden itu.
Beliau menggambarkan tindakan mereka yang cuba menghentikan perbuatan penyerang itu sebagai berani sambil menambah bahawa mereka menghalang lebih banyak kecederaan daripada berlaku.
Encik Basham berkata tiga daripada mangsa berkenaan akan menjalani pembedahan semalaman.
Pengarah pengurusan Countdown Spencer Sonn berkata semua orang di rangkaian pasar raya itu "terkejut dan berasa hancur luluh" dengan serangan itu.
New Zealand memperkenalkan undang-undang senjata api yang diperketat setelah peristiwa serangan Christchurch untuk membataskan akses kepada senjata api.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.