4 cedera dalam serangan sasar pendatang asing
Seorang lelaki mencederakan empat orang di Jerman selepas merempuh kenderaan yang dipandunya ke arah sebuah kumpulan yang sedang menyambut Tahun Baru.
Lokasi kejadian di bandar Bottrop di Jerman. (Gambar: Marcel Kusch/dpa menerusi AP)
BERLIN: Seorang lelaki mencederakan empat orang di Jerman selepas merempuh kenderaan yang dipandunya ke arah sebuah kumpulan yang sedang menyambut Tahun Baru.
Polis semalam (1 Jan) menyifatkan serangan itu sebagai satu serangan yang disasarkan terhadap para pendatang asing.
"Pihak berkuasa percaya serangan ini disasarkan dan didorong oleh perasaan marah si pemandu terhadap warga asing," menurut pejabat pendakwa raya Essen dan polis Muenster.
Kedua-dua pihak juga menyatakan mereka percaya suspek berusia 50 tahun itu mengalami masalah kesihatan mental.
Lelaki itu "dengan jelas mempunyai tujuan untuk membunuh warga asing," kata Menteri Dalam Negeri wilayah North Rhine-Westphalia.
Insiden itu berlaku sejurus selepas tengah malam di bandar Bottrop, yang terletak sekitar 12 kilometer dari bahagian utara bandar Essen, di bahagian barat Jerman.
Pemandu itu cuba melanggar seorang individu namun beliau berjaya mengelak.
Pemandu itu kemudian merempuh kenderaan yang dipandunya ke arah sebuah kumpulan yang membakar mercun di tepi jalan raya, seperti yang dilakukan oleh ramai penduduk lain sempena sambutan tahun baru di Jerman.
Empat orang cedera dengan sebilangan daripada mereka cedera parah, menurut polis sambil menambah bahawa para mangsa berasal dari Afghanistan dan Syria. Kementerian Dalam Negeri Jerman menyatakan seorang wanita adalah antara mereka yang cedera parah akibat insiden tersebut.
Menyusuli insiden itu, pemandu berkenaan cuba melancarkan satu lagi serangan di sebuah bandar berhampiran Essen, namun ia tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Dia melemparkan "kata-kata kesat terhadap warga asing" ketika diberkas polis, menurut para pegawai.
Satu lagi insiden serupa dilaporkan berlaku di Jepun, di mana seorang lelaki sengaja merempuh kereta yang dipandunya ke arah orang ramai sedang mereka menyambut kedatangan Tahun Baru di sebatang jalan raya di Tokyo. Seramai 9 orang dilaporkan cedera akibat insiden itu.
Menurut stesen penyiar NHK, lelaki berkenaan memberitahu polis bahawa dia melancarkan serangan itu "sebagai balasan terhadap hukuman mati" tanpa mendedahkan lebih banyak perincian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.