4 anggota polis M'sia direman bantu siasatan bekal barang terlarang kepada tahanan
Empat anggota polis direman tujuh hari mulai hari ini (22 Jun) bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima upah sebagai orang tengah yang membekalkan bahan terlarang kepada tahanan lokap.

(Gambar: Balai Polis Alor Gajah/Facebook)
Perintah reman ke atas kesemua tertuduh berumur antara 35 hingga 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin di Mahkamah Ayer Keroh hari ini.
Siasatan ke atas kesemua anggota yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal yang bertugas di sebuah balai di Alor Gajah itu dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
Kesemua anggota tersebut didakwa membawa masuk bekalan bahan terlarang seperti dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan lokap di balai mereka bertugas.
Semua suspek juga dikatakan menerima upah antara RM600 (S$190) hingga RM9,000 (S$2,840) menerusi kira-kira 20 urus niaga sepanjang 2019 hingga 2020, sama ada secara dalam talian atau tunai.
Semua suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka petang semalam.
Awal dari itu, mereka tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju tahanan lokap SPRM berwarna jingga.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata siasatan lanjut sedang dilakukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.