4 anggota militan ditemui maut selepas 6 hari dikepung
Empat anggota militan yang dikehendaki pihak berkuasa ditemui maut di sebuah hutan paya di Bacho, Narathiwat, Thailand selepas enam hari dikepung.

(Gambar: BERNAMA)
NARATHIWAT: Empat anggota militan yang dikehendaki pihak berkuasa ditemui maut di sebuah hutan paya di Bacho, Narathiwat, Thailand selepas enam hari dikepung.
Jurucakap Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahagian Ke-4 Kol Kiattisak Neewong berkata pasukan keselamatan mengepung hutan paya itu selama enam hari.
Insiden berbalas tembakan turut dilaporkan berlaku semasa mereka dikepung, dengan seorang anggota keselamatan maut dalam kejadian tembakan pada Sabtu lalu (2 Okt).
“Pada awal pagi Ahad, insiden berbalas tembakan berlaku lagi dan berlanjutan sehingga lewat petang. Apabila keadaan reda, pasukan keselamatan menemui empat mayat di hutan paya.
“Tiga laras senjata api jenis Rifle dan sepucuk pistol serta dua butir bom tangan ditemui berdekatan dengan mayat,” katanya semasa satu sidang media pada Isnin (4 Okt).
Beliau menambah kesemua anggota militan itu mempunyai rekod jenayah dan beberapa waran tangkap tertunggak.
Mayat keempat-empat anggota militan itu dituntut ahli keluarga selepas proses bedah siasat dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kg Duku Surau Bacho.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.